Bersatu Melaka sokong siapa sahaja dilantik Ketua Menteri

Mohd Rafiq
Mohd Rafiq
A
A
A

MELAKA - Bersatu Melaka akan menyokong sesiapa sahaja yang bakal dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, kata Timbalan Ketuanya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Beliau berkata, kemelut politik yang berlaku di negara dan negeri Melaka perlu dihentikan segera.

"Tumpuan kerajaan harus diberikan kepada isu pembangunan ekonomi rakyat, penyelesaian dan menangani krisis air yang menjejaskan kehidupan rakyat, sektor perindustrian, pelaburan dan kesihatan termasuk pencegahan penularan koronavirus (Covid-19), kebajikan dan pendidikan rakyat.

"Bersatu Melaka komited ke arah mengukuhkan gabungan Perikatan Nasional sepertimana telah dipersetujui bersama kepimpinan tertinggi parti bagi membentuk kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rafiq berkata, Bersatu Melaka berharap semua ahli, penyokong parti dan rakyat Melaka dapat bertenang dan Bersatu Melaka yakin pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan dengan teratur sebaik urusan pelantikan Ketua Menteri dan barisan Exco kerajaan negeri selesai minggu hadapan.

Ketua Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof semasa dihubungi enggan mengulas mengenai pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu.

Pada 2 Mac, dilaporkan Mohd Khalil mendapat representasi bahawa Ketua Menteri Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.

Sehubungan itu, Mohd Khalil akan melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu dan istiadat angkat sumpah jawatan dijadual petang esok.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Barisan Nasional Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Mohd Khalil memaklumkan Ketua Menteri Melaka yang baharu adalah dalam kalangan 15 ADUN yang menyokong gabungan BN. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: TYT Melaka tolak cadangan bubar DUN

Istiadat angkat sumpah KM Melaka ditangguh

Yang Dipertua Negeri Melaka jumpa 15 ADUN Perikatan Nasional

Jailani sedia dedah individu tawar jawatan Ketua Menteri