Kereta terbakar dirempuh Myvi

Keadaan kereta jenis Perodua Myvi yang terlibat kemalangan di Kilometer 264.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi. - Foto ihsan bomba
Keadaan kereta jenis Perodua Myvi yang terlibat kemalangan di Kilometer 264.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi. - Foto ihsan bomba
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki berdepan detik cemas selepas kereta dipandu dirempuh dari arah belakang sebelum terbakar di Kilometer 264.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa Yang Saiful Ferdaus Omar Khan, 44, yang memandu kereta jenis Proton Satria Neo dalam perjalanan ke Shah Alam, Selangor.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwani Saidy berkata, bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat dan sebaik tiba didapati kereta mangsa sudah terbakar.

"Mangsa bagaimanapun sempat keluar dari kereta untuk selamatkan diri. Bomba mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran.

"Mangsa hanya mengalami sakit dada dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk rawatan manakala kenderaannya terbakar 80 peratus," katanya.

Bomba memadam kebakaran kereta jenis Satria Neo di Kilometer 264.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi. - Foto ihsan bomba
Bomba memadam kebakaran kereta jenis Satria Neo di Kilometer 264.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Menurutnya, mangsa memberitahu dia dalam perjalanan dari Sikamat di sini menuju ke Seksyen 13 Shah Alam, Selangor untuk mengambil barang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, kereta yang dipandu di lorong kedua kiri dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta Perodua Myvi lalu berpusing dua kali sebelum bahagian enjinnya terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu Perodua Myvi lelaki berusia 34 tahun pula tidak cedera dan ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Rasah di sini.

"Kereta dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar kereta dipandu mangsa sebelum terbabas ke pembahagi jalan," katanya.