PRK Cameron Highlands: Siasat dakwaan bukan penyebar gambar

Mohd Farid mewakili Pemuda Umno Pahang membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah oleh PH. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Pemuda Umno Pahang mempertikai tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mahu menyiasat penyebar gambar seorang petugas PH dipercayai mengagih wang kepada masyarakat Orang Asli.

Ketuanya, Mohd Farid Mohd Nor berkata sepatutnya siasatan dibuat ke atas dakwaan bukan penyebar gambar.

"Kenapa perlu siasat mereka yang menyebarkan gambar tersebut? Itu satu perkara yang cukup pelik. Mungkin kerana menterinya ada di situ.

"Sepatutnya dakwaan ini yang disiasat bukan siasat siapa yang menyebarkan gambar-gambar ini. Ini satu perkara yang pelik dan ajaib dalam Malaysia baharu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata pihaknya sedang mengenalpasti pemilik akaun media sosial dan tujuannya menyebarkan gambar tersebut.

Gambar seorang petugas wanita memakai baju berlogo PH menjadi viral sejak pagi tadi dipercayai sedang mengagihkan wang kepada masyarakat Orang Asli.

Dalam pada itu, Mohd Farid menuntut SPRM, SPR dan polis menyiasat sama ada wujud atau tidak unsur rasuah dalam kempen PH.

"Perkara ini (pemberian wang) sepatutnya tidak dilakukan oleh PH kerana mereka sendiri yang telah membuat petisyen untuk membatalkan kemenangan Datuk C.Sivaraajh.

"Saya harap semua badan-badan ini ambil tindakan bukan setakat menyiasat. Saya percaya perkara itu jelas dengan gambar. Kita tuntut tindakan diambil ke atas calon PH, kalau perlu dilucutkan kelayakan bertanding, lakukanlah," katanya.

Tegasnya, PH sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik selepas mendakwa BN membeli undi dalam PRU14.

"Sepatutnya kerajaan menunjukkan contoh yang lebih baik berbanding kami dulu yang dikatakan kurang baik. Lebih-lebih lagi calon tersebut menandatangani ikrar untuk memastikan pilihan raya kali ini dijalankan dalam keadaan bersih dan adil.

"Kita kesal kerana perkara ini berlaku sebaik sahaja ikrar itu ditandatangani. Calon kita dipertikai kerana tak tandatangan tapi sebaik sahaja ditandatangan, dia sendiri buat," katanya.

Pemuda MIC turut membuat laporan polis di Balai Polis Brinchang petang ini berhubung dakwaan sama.