Penjawat awam lalok dadah ditahan

Penjawat awam (kanan) ditahan bersama dua rakan dalam serbuan awal pagi tadi. -Foto: AADK Daerah Yan
Penjawat awam (kanan) ditahan bersama dua rakan dalam serbuan awal pagi tadi. -Foto: AADK Daerah Yan
A
A
A

YAN - Seorang penjawat awam antara ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan dalam operasi di Kampung Bukit Besar di sini awal pagi tadi.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, hasil maklumat dan aduan orang awam, lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai tiga orang anak itu ditahan dalam serbuan berdekatan dengan bangsal di rumah rakannya.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, penjawat awam tersebut sedang leka lalok bersama dua rakannya di lokasi sama.

"Hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine," katanya.



Peralatan menagih yang ditemui semasa serbuan. -Foto: AADK Daerah Yan
Peralatan menagih yang ditemui semasa serbuan. -Foto: AADK Daerah Yan

Katanya, lelaki terbabit mengaku mula terjebak dengan najis dadah sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, pihaknya turut menjalankan operasi di Kampung Tualang dan Kampung Teluk Mat Acheh di mana empat individu dikesan terlibat dalam penagihan dadah.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Hasil ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat individu terbabit positif dadah jenis opiat, methamphetamine dan marijuana.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Katanya, operasi yang disertai 10 anggota itu bermula jam 10 malam dan berakhir jam 3 pagi tadi.

"AADK sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dalam membendung isu dadah yang semakin mencabar.

"Kerjasama semua pihak terutamanya komuniti perlu digerakkan bagi memastikan kawasan tempat tinggal anda bebas daripada najis dadah," katanya.