Seminggu pentadbiran Muhyiddin

Muhyiddin memulakan tugas pada 2 Mac lalu dengan menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas sebagai Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.
Muhyiddin memulakan tugas pada 2 Mac lalu dengan menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas sebagai Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya.
A
A
A

SEJAK 1 Mac lalu, rata-rata warga maya menaikkan hantaran atau ciapan mengungkap rasa syukur dengan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan digantikan kerajaan didominasi Melayu dan Islam iaitu Perikatan Nasional.

Nada keyakinan wujudnya kerajaan Melayu, Islam ibarat meraikan kembalinya empayar Khalifah Uthmaniyah di Turki yang terkubur pada tahun 1922 sudah kedengaran bermula dengan episod polemik peralihan kuasa Perdana Menteri sehingga beralih kepada krisis peralihan tampuk pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Namun, kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memulakan tugas pada 2 Mac lalu pasti memfokuskan untuk mengukuhkan sokongan ahli Parlimen terhadap kerajaan itu menjelang pembukaan sidang Parlimen yang ditangguhkan dari tarikh 9 Mac kepada 18 Mei 2020.

Ini kerana kerajaan yang tidak memperoleh kerusi majoriti tetapi terbina dengan meraih sokongan pihak lain bagi meneruskan usaha peralihan kuasa dilihat sangat rapuh dan tidak mampu bertahan.

Tambahan pula, isu perebutan kerusi Menteri Besar dan Ketua Menteri di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama membabitkan negeri Melaka dan Perak ketika ini seolah-olah menggambarkan Perikatan Nasional masih lagi rapuh dan tidak sekukuh sebagaimana disangka.

Paling membimbangkan, teka-teki pembentukan Kabinet baharu dan pelantikan Timbalan Perdana Menteri sudah pasti memberi kesan.

Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmed Dzariean Mohd Nadzri berpendapat, kerajaan Perikatan Nasional dipimpin Muhyiddin kini berdepan cabaran utama mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi politik negara yang teruk terhakis sejak dua minggu lalu.Menurutnya, di sebalik langkah awal Muhyiddin menurunkan harga runcit petrol dan diesel yang mendapat respons positif rakyat, tumpuan utama mereka masih terarah kepada penentuan pola pembentukan Kabinet bagi kerajaan baharu.

“Tidak seperti PH di mana dominasi ahli Parlimen bukan Melayu adalah tinggi, Muhyiddin mungkin boleh memanfaatkan pelantikan lebih ramai pemimpin politik atau teknokrat dalam kalangan bukan Melayu sebagai Senator supaya boleh mengimbangi pembentukan Kabinet baharu yang bersifat lebih majmuk.

Artikel Berkaitan:

“Namun apa yang penting, beliau perlu memastikan struktur pentadbiran baharu kerajaan mempunyai integriti tinggi selain melaksanakan segera pelan perancangan jangka pendek bagi menangani kemelut ekonomi serta wabak koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan, sudah tiba masanya Muhyiddin merealisasikan hasrat rakyat untuk menerima seorang Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin Sabah dan Sarawak.

Katanya, langkah itu boleh diibaratkan sebagai ‘serampang dua mata’ bagi mengukuhkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Perikatan Nasional di samping meredakan tekanan pemimpin Sabah dan Sarawak dalam memenuhi terma Perjanjian Sabah Sarawak 1963.

“Dalam konteks ini, UMNO juga perlu memainkan peranan membantu Muhyiddin membentuk Kabinet baharu dengan tidak mengemukakan desakan keterlaluan.

“Ini peluang baik untuk UMNO bermuhasabah diri dan tidak menuntut terlalu banyak jawatan kerana kerajaan sekarang hanya persediaan untuk pembentukan kerajaan Perikatan Nasional lebih kukuh pada PRU15,” kata beliau.