Mohamad Hasan boleh ganti Zahid Hamidi sebagai TPM

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Berikutan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak sebarang jawatan dalam Kabinet, penganalisis berpendapat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengangkat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Penganalisis politik dari Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, personaliti dan pengalaman Mohamad yang begitu sinonim dengan gelaran Tok Mat sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum memberikan kelebihan untuk menyertai Kabinet.

Menurutnya, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu juga diterima baik dan dihormati sama ada dari dalam parti mahupun pihak lawan memberikan pemimpin itu satu lagi faktor 'wow'.

"Beliau mempunyai ciri-ciri yang disebut Muhyiddin dalam ucapan sulungnya sebagai seorang yang bersih dan berintegriti.

"Jika Tok Mat dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, akan mengurangkan tekanan kepada Perdana Menteri dan dalam masa sama dapat meningkatkan sokongan masyarakat kepada kerajaan kerana untuk mendapatkan sokongan rakyat.

"Saya yakin pelantikan itu nanti tidak akan dipertikaikan walaupun Tok Mat perlu dilantik sebagai senator terlebih dulu,"katanya kepada Sinar Harian.

Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi juga senada dan mengakui sekiranya Tok Mat dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang mampu meredakan suasana perebutan jawatan tersebut.

"Tok Mat dianggap sebagai orang yang mampu mengurangkan suasana isu perebutan kuasa jawatan TPM.

Artikel Berkaitan:

"Ini memberi peluang kepada kepimpinan pelapis dalam UMNO memainkan peranan aktif dalam Perikatan Nasional<" katanya

Awang Azman berkata, sekiranya Mohamad menolak, calon terbaik adalah Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

"Namun persoalannya, adakah Muhyidin mahu melantik Ku Li? Jadi, saya fikir laluan perlu diberikan kepada Tok Mat," katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, berdasarkan hirarki parti, Mohamad adalah calon yang paling layak selaku orang kedua dalam UMNO yang pernah menyandang jawatan Presiden.

"Kombinasi antara beliau dan Muhyidin juga akan dianggap kombinasi yang menarik dan kedua-duanya mempunyai latar belakang yang boleh mengukuhkan kerajaan dalam kedudukan sekarang.

"Ketika beliau memangku jawatan Presiden UMNO juga kita lihat bagaimana reputasi UMNO dipulihkan dan ramai bercakap tentang kewibawaan beliau," katanya.