Pelarian mangsa geo-politik

A
A
A

ISU pelarian Syria di Turki sekali lagi mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Perkembangan terkini melibatkan pelarian yang ingin berhijrah ke Eropah melalui Greece. Namun begitu mereka telah dihalang oleh pasukan keselamatan kerajaan Greece di sempadan Turki-Greece. Isu kebanjiran pelarian di kawasan sempadan Turki-Greece tercetus pada 29 Februari 2020 apabila Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan telah mengisytiharkan bahawa kerajaannya tidak lagi menyekat dan membuka sempadan bagi membolehkan pelarian yang menetap di Turki untuk berhijrah ke Eropah.

Justeru, pelarian Syria telah berusaha memasuki Eropah melalui Greece sama ada melalui jalan darat mahupun air. Ada di antara mereka telah membina rakit untuk menyeberangi Sungai Evros yang memisahkan Turki dengan Greece. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 15,000 orang pelarian telah cuba memasuki sempadan Greece dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, usaha mereka terhalang akibat kerajaan Greece menutup sempadannya. Malah pasukan keselamatan Greece bertindak menggunakan gas pemedih mata, meriam air serta bom tangan ke atas pelarian yang tidak bersenjata seperti kanak-kanak, wanita serta warga tua. Sehingga 2 Mac pihak berkuasa Greece telah menahan seramai 150 orang.

Pemimpin kerajaan Greece, Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis telah menyifatkan kerajaan Turki sebagai tidak bertanggungjawab kerana membuka sempadannya sehingga beribu pelarian Syria cuba memasuki Greece. Namun begitu, Presiden Turki, Erdogan menyatakan kerajaan Turki tidak lagi berkemampuan untuk terus memberi perlindungan kepada mangsa pelarian konflik Syria. Katanya, buat masa kini seramai 3.6 juta orang pelarian dari Afrika, Asia dan Timur Tengah berada di Turki.

Selain itu Kesatuan Eropah telah gagal menunaikan janji yang dibuat pada 2015 untuk memperuntukkan sejumlah 6 bilion Euro kepada kerajaan Turki sebagai pampasan bagi menanggung kos pelindungan kepada pelarian.

Kerajaan Turki berpendapat kepentingan mereka diketepikan Kesatuan Eropah apabila Turki terpaksa memberi pelindungan kepada mangsa pelarian dan pada masa yang sama tenteranya di sempadan Turki-Syria.

Di samping itu, kerjasama Greece-Turki dalam menyelesaikan masalah pelarian amat terhad disebabkan oleh dinamik dalam hubungan Turki-Greece di mana kedua-dua negara pernah berperang beberapa kali (1897, 1919-1922) serta masalah pertikaian Laut Aegean.

Perisai

Artikel Berkaitan:

Selain itu kesediaan Kesatuan Eropah untuk benar-benar membantu mangsa pelarian amat diragui. Ini kerana apabila pelarian cuba memasuki Greece, pemimpin Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen selaku Presiden Suruhanjaya Eropah telah melawat kawasan sempadan Greece-Turki dan menegaskan bahawa Greece berperanan sebagai ‘perisai’ untuk melindungi Eropah daripada kemasukan pelarian.

Kenyataan Ursula von der Leyen seakan-akan menghalalkan tindakan kejam pasukan keselamatan Greece yang sanggup menggunakan bom tangan serta gas pemedih terhadap mangsa pelarian. Mangsa pelarian terpaksa berkemah di kawasan sempadan Turki-Greece dengan makanan yang terhad dan dalam keadaan kesejukan tanpa alat pemanas. Sebahagian daripada mereka terpaksa mengharungi Laut Aegean dengan rakit untuk memasuki Greece dan ada di antara mereka telah mati lemas.

Tindakan pasukan keselamatan Greece telah mendapat tentangan Amnesty International (AI). Mereka menyifatkan kerajaan Greece telah melanggar hak asasi manusia. Malah AI telah mengkritik Kesatuan Eropah kerana bersekongkol dengan kerajaan Greece apabila Ursula von der Leyen telah menyeru Greece bertindak seperti perisai bagi Eropah.

Adalah jelas dalam krisis ini pelarian Syria sekali lagi menjadi mangsa kepada percaturan politik Greece, Turki termasuk Kesatuan Eropah yang hanya mahu menjaga kepentingan masing-masing.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya