Jurulatih hoki UTeM maut bertembung pacuan empat roda

ALOR GAJAH – Seorang jurulatih hoki maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Simpang Gading, Durian Tunggal pada Ahad.
Dalam kejadian jam 12.36 tengah hari itu, mangsa, Fawwaz Amir Kamarudin, 38, yang juga staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Isuzu D-Max berusia 24 tahun cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang sedang memotong.
"Pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari Kesang Pajak ke Durian Tunggal manakala Perodua Kancil dipandu mangsa datang dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Isuzu D-Max dikatakan mengelak sebuah Proton Waja yang memotong kenderaan lain menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kenderaan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
"Pemandu pacuan empat roda telah ditahan bagi permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ujian air kencing ke atasnya menunjukkan keputusan negatif dan semakan mendapati individu terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau saman trafik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!