Tiada kes sporadik Covid-19 dikesan: KKM

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes sporadik koronavirus (Covid-19) dikesan di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu diperoleh selepas aktiviti survelan dijalankan bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI).

Menurutnya, pengesanan itu turut melibatkan mereka yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif wabak tersebut.

"Sehingga hari ini, sebanyak 432 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

"Berdasarkan maklumat semasa, tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, KKM turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19.

Katanya, wilayah terbabit adalah Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran.

"Orang awam juga diingatkan untuk tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat terkini berkenaan perkembangan semasa Covid-19 boleh didapati daripada laman sesawang KKM," katanya.

Terdahulu, jumlah mangsa yang positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 93 kes dengan penambahan 10 kes baharu direkodkan KKM hari ini.