Biar ahli tentukan siapa layak terajui Bersatu: Dr Mahathir

Dr Mahathir melambai kepada rakyat Kedah yang hadir memeriahkan Kenduri Rakyat Menteri Besar Kedah di Dewan Wawasan hari ini.
Dr Mahathir melambai kepada rakyat Kedah yang hadir memeriahkan Kenduri Rakyat Menteri Besar Kedah di Dewan Wawasan hari ini.
A
A
A

JITRA - AhIi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta membuat pilihan pemimpin yang layak menerajui parti itu pada pemilihan parti akan datang susulan wujud perpecahan kepimpinannya.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini berikutan parti itu kini berpecah kepada dua iaitu bawah kepimpinan beliau dan yang menyokong Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, hanya ahli yang wajar menentukan siapa yang lebih layak memimpin Bersatu dan menentukan hala tuju parti.

“Kita akan adakan pemilihan parti April depan untuk tentukan siapa yang dipilih sebagai pemimpin parti,” katanya ketika ditemui hadir pada Kenduri Rakyat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datin Seri Norzieta Zakaria di Dewan Wawasan hari ini.

Dr Mahathir mendakwa beliau masih Pengerusi Bersatu yang sah mengikut perlembagaan parti.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak boleh mengaku beliau memangku jawatan Pengerusi Bersatu sebab saya masih Pengerusi. Muhyiddin tak boleh jadi pemangku, apa perlu dia jadi pemangku kerana Majlis Pimpinan Tertinggi tolak peletakan jawatan dan saya terima balik jawatan itu,” katanya.

Pada 25 Februari, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti menolak surat peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Bersatu. Namun pada 29 Februari lalu, Muhyiddin mengumumkan memangku jawatan Pengerusi selepas peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari lalu.

Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Perlembagaan Bersatu menetapkan hanya ada seorang individu memegang jawatan Pengerusi.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir meraikan majlis resepsi perkahwinan cucu beliau, Meera Alyanna Mukhriz dan pasangannya, Mohd Ezran Daud Cheah di Dewan Wawasan, Jitra.
Dr Mahathir meraikan majlis resepsi perkahwinan cucu beliau, Meera Alyanna Mukhriz dan pasangannya, Mohd Ezran Daud Cheah di Dewan Wawasan, Jitra.

“Perlembagaan tetapkan seorang sahaja Pengerusi, satu sahaja parti. Tetapi sebahagian daripada parti sudah terima Datuk Seri Najib Razak, jadi bukan lagi parti. Sebahagian masih Bersatu tetapi ada kumpulan ikut Najib,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir mengakui terguris dengan tindakan Muhyiddin yang disifatkan menikam dari belakang.

“Saya sudah jadi Perdana Menteri dua kali dah, tak apalah, bukan saya nak sangat jawatan. Tetapi apabila kawan tikam belakang, pedih jugaklah,” katanya.

Menurutnya, beliau kesal kerana Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan individu yang melakukan jenayah semata-mata untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita berusaha jatuhkan kerajaan kleptokrat, akhirnya selepas berjaya, mereka yang kalah cuba pengaruhi Pas dan ahli Bersatu untuk kononnya mendirikan kerajaan Melayu. Muhyiddin ajak saya keluar Pakatan Harapan (PH) untuk dirikan kerajaan itu dan bekerjasama dengan UMNO dan Pas,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, beliau sukar untuk menerima UMNO atas apa yang dilakukan terhadap negara dan tegas menolak kerjasama itu.

“Tetapi Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan mereka, saya tidak mahu. Itulah politik, macam-macam boleh jadi,” katanya.

Katanya, di saat negara berdepan ancaman koronavirus (Covid19), pihak yang mahukan kuasa lebih mengutamakan politik berbanding kesan ekonomi akibat penularan wabak itu.

“Ini bukan masa nak cari tempat dalam politik, untuk hadapi dua cabaran ini perlu tenang tetapi mereka lebih utamakan politik.

"Saya masih ingat, ketika tubuhkan Bersatu, kita buat lagu ‘bercerai roboh Bersatu teguh’, tapi yang bercerai adalah Muhyiddin yang cuba robohkan Bersatu dan pilih Najib berbanding saya,” katanya.