13 rakyat China bekerja di Kelantan bebas Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 13 daripada 18 warga China yang bekerja di sektor pembinaan dan perlombongan di Kelantan bebas daripada jangkitan koronavirus (Covid-19), kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, baki lima lagi rakyat China itu masih dikuarantin selepas kembali ke Kelantan pada bulan lepas.

“Kesemua 18 warganegara China itu pulang ke tanah air mereka sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini dan selepas kembali ke Kelantan, pihak kami mengambil inisiatif untuk menyaring dan mengkuarantin mereka selama dua minggu di rumah masing-masing.

“Lima yang sedang dikuarantin kini adalah mereka yang kembali ke Kelantan secara berasingan dengan yang terakhir tiba di negeri ini pada 28 Februari lepas. Kami mendapat kerjasama baik daripada mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pekerja warga China itu bekerja di beberapa lokasi di negeri ini termasuk di Ladang Emas di Sokor, Tanah Merah dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Zaini berkata, pihaknya akan melaksana langkah yang sama menyaring dan mengkuarantin ahli keluarga warganegara China itu yang berkunjung ke Kelantan selepas ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, keputusan ujian terhadap 26 pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 sebelum ini adalah negatif.

Dalam pada itu, katanya, Jabatan Kesihatan Kelantan sentiasa berjaga-jaga dengan gelombang kedua Covid-19 di negeri ini termasuk menambah satu lagi mesin pengimbas suhu badan di pintu masuk ke negeri ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pasir Mas. - Bernama

Artikel Berkaitan: