Harap bakal menteri jalin kerjasama dengan pemegang kepentingan sukan

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) berharap Menteri Belia dan Sukan yang baharu nanti akan menjalin kerjasama rapat dengan pemegang kepentingan sukan sebelum melakukan sebarang perubahan program sukan sedia ada.

Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, menteri baharu itu perlu mengambil input daripada mereka yang terlibat secara langsung terutama persatuan sukan kebangsaan.

"Dengan adanya pentadbiran baharu nanti, saya rasa ada program atau polisi yang perlu dikekalkan manakala yang kurang baik, kita perbaiki. Saya rasa menteri seterusnya ini perlu lihat kepada keseluruhan rangka tindakan sebelum buat sebarang perubahan.

"Memang ada yang lahirkan keresahan, takut ada perubahan namun saya rasa kita kena bekerjasama dengan menteri baharu. Kita akan beri beliau nasihat supaya ada perkara, perlu kita kekalkan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM di Wisma MOM hari ini.

Mohamad Norza berpendapat antara program yang perlu dikekalkan ialah Program Podium yang melibatkan persediaan atlet ke Sukan Olimpik.

Katanya, meskipun Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun sudah semakin hampir namun program itu perlu diteruskan sehingga Sukan Olimpik 2024 di Paris atau Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Dalam pada itu, MOM turut mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalannya Steven Sim Chee Keong atas kerjasama dan sokongan ketika menyandang jawatan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: