Maut ditikam: Lima warga Myanmar ditahan

Mayat mangsa diusung masuk ke dalam kenderaan polis sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.(Gambar kecil:Nik Ros Azhan)
Mayat mangsa diusung masuk ke dalam kenderaan polis sebelum dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.(Gambar kecil:Nik Ros Azhan)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan melibatkan seorang lelaki tempatan yang ditemui mati dengan 14 kesan tikaman di sebuah rumah flat di Taman Pulasan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua warga asing yang berusia 27 hingga 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam di tempat kerja mereka.

“Kelima warga asing itu tinggal serumah dengan mangsa sebelum ini. Mereka kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

“Siasatan dilakukan kita dapati ada antara mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit kerja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, polis sedang mengesan lima lagi pekerja warga Myanmar yang turut tinggal menyewa di rumah itu dan dipercayai melarikan diri selepas kejadian bunuh tersebut.

“Lima lelaki berusia 25 hingga 42 tahun itu dipercayai masih berada di sekitar Pulau Pinang dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

“Kita percaya mereka terlibat dengan kejadian bunuh ini kerana berdasarkan maklumat awal semasa insiden tersebut mereka berada di rumah sewa berkenaan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis masih lagi menyiasat motif sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan bayaran gaji serta kebajikan pekerja asing di bawah seliaan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditemui mati dengan 14 kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Pulasan petang semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki ditemui dengan 14 kesan tikaman]

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa R Manogaran, 55, ditemui berlumuran darah di dalam bilik utama rumah berkenaan dengan sebilah pisau masih terpacak pada perutnya.

Mangsa ialah pembekal pekerja asing warga Myanmar kepada beberapa buah kilang di kawasan Bukit Tengah.