MH17: Perbicaraan terhadap empat suspek bermula 9 Mac ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia akan memantau dengan dekat perbicaraan empat suspek yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 yang bermula 9 Mac ini di Mahkamah Daerah di The Hague, Belanda.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Luar hari ini, perbicaraan itu adalah pencapaian yang memberangsangkan bagi mencari kebenaran dan menuntut bela di atas tragedi yang berlaku pada 17 Julai 2014 itu.

“Ketika perbicaraan bermula, kami mahu mengingatkan bahawa kejadian yang tidak berperikemanusiaan ini meragut 298 nyawa tidak berdosa, termasuk 43 rakyat Malaysia dan anak kapal. Doa kita sentiasa bersama mangsa dan keluarga mereka,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Malaysia mahu proses perbicaraan yang dijalankan adalah telus dan mengikut undang-undang bagi memastikan keadilan dapat dicapai.

“Sebagai salah satu ahli Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT), Malaysia kekal komited dengan proses undang-undang dan penyiasatan.

“Malaysia mahu semua negara dan pihak terlibat bekerjasama sepenuhnya dengan penyiasatan mengikut Resolusi USNC 2166(2014),” kata kenyataan itu lagi.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine oleh sistem peluru berpandu BUK ketika negara itu berhadapan dengan perang saudara.

Artikel Berkaitan: