Kelantan tambah pengimbas suhu

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan melaksanakan proses saringan wabak koronavirus (Covid-19) yang lebih ketat dengan menambah alat pengimbas suhu badan di pintu keluar masuk negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata, langkah berjaga-jaga itu ditingkatkan susulan gelombang kedua penularan virus berjangkit itu di negara ini.

Katanya, kawalan ketat juga dipertingkatkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa kerana Kelantan menerima penerbangan antarabangsa terus dari Singapura.

“Sebelum ini satu alat pengimbas suhu ditempatkan di LTSIP; ICQS Bukit Bunga, Tanah Merah, ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas dan ICQS Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Walaupun belum ada rekod kes Covid-19 tetapi inisiatif diambil dengan menambah satu lagi alat itu di ICQS Rantau Panjang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Fun Run 5KM World Hearing Day 2020 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Pelepasan peserta disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson.

Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra (lapan kanan) dan Cik Puan Sofie Louise Johansson yang mencemar duli berangkat ke Program Fun Run 5KM World Hearing Day 2020 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu hari ini.
Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra (lapan kanan) dan Cik Puan Sofie Louise Johansson yang mencemar duli berangkat ke Program Fun Run 5KM World Hearing Day 2020 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu hari ini.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Otolaringologi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Siti Sabzah Mohd Hashim.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Dr Zaini berkata, 26 kes pesakit dalam siasatan (PUI) yang dikuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kelmarin didapati negatif Covid-19.

“Pesakit ini ialah mereka yang balik daripada negara wabak dan akan menjalani ujian saringan dan kuarantin selama 14 hari.

“Bagi pesakit yang disyaki tetapi tidak ada sejarah perjalanan ke negara wabak dan berhubungan rapat turut menjalani ujian saringan dan pemantauan,” katanya.

Tambahnya, ujian sampel darah bagi kes disyaki Covid-19 dijalankan di HRPZ II dan Makmal Kesihatan Awam Perol.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan menjaga kebersihan secara menyeluruh dan menjalani ujian saringan di hospital dan klinik dengan segera selepas pulang dari negara wabak.

“Patuhi arahan kuarantin dan jauhi tempat tumpuan ramai agar penularan wabak dapat dikekang,” katanya.