X

Kindly register in order to view this article
!

Pahang tarik pelaburan lebih RM1.2 bilion dari Thailand

Wan Rosdy (tiga dari kanan) hadir menyaksikan MoU antara PKS dan PKNP bersama pelabur dari Thailand sempena lawatan kerja beliau ke negara itu semalam. Foto: Media Menteri Besar Pahang.
A
A

KUANTAN - Pahang bakal menarik pelaburan bernilai RM1.213 bilion dari Thailand dengan termeterainya perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) dengan pelabur negara itu di Bangkok semalam.

Majlis pemeteraian perjanjian dan MoU itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika lawatan kerja beliau ke negara itu.

Wan Rosdy berkata, perjanjian termeterai antara Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Green World Genetics dan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd dengan nilai pelaburan RM513 juta.

Menurutnya, MoU dengan Green World Genetics bagi pembangunan Taman Penyelidikan Benih Tropikal Global dengan nilai pelaburan RM400 juta dan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd bagi pelaburan bernilai RM113 juta melibatkan pembangunan Taman Akuakultur termasuk pembinaan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan di kawasan seluas 101.17 hektar di Rompin.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) memeterai perjanjian dengan AE Carbon Capital (Bentong) dan AE Carbon Capital (Bera) dengan nilai pelaburan RM700 juta.

"Ia bagi pembangunan Taman-Eko untuk pengeluaran pelbagai produk teknologi hijau bagi pasaran dalam dan luar negara di kawasan seluas kira-kira 11.33 hektar di Bentong (RM380 juta) dan 20.23 hektar di Bera (RM320 juta)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis MoU itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel M C Samuel; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Seri Ishak Mohammad dan beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Wan Rosdy bersama delegasi turut mengadakan perjumpaan dengan pelabur berpotensi dan kepimpinan Dewan Perniagaan Thailand-Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke Thailand semalam.
Wan Rosdy bersama delegasi turut mengadakan perjumpaan dengan pelabur berpotensi dan kepimpinan Dewan Perniagaan Thailand-Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke Thailand semalam.

Wan Rosdy berkata, MoU yang dimeterai dengan pelabur dari Thailand itu susulan kepada usaha berterusan dalam mempromosi dan menarik pelaburan asing ke Pahang.

“Ia juga susulan kepada promosi ‘Invest Pahang’ yang dianjurkan menerusi pendekatan langsung dengan syarikat-syarikat yang berpotensi serta menerusi sesi ‘high tea’ seperti yang dianjurkan pada Januari lepas di sebuah hotel di Bangkok,” katanya.

Menurutnya, Pahang menyediakan beberapa lokasi strategik kepada pelabur antaranya ialah Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan dan Taman Maritim Tanjung Agas, Pekan.

"Kerajaan negeri juga sedang mengkaji lokasi yang paling sesuai di Kuantan untuk Taman Aerospace Pahang seperti Taman Automatif di Pekan," katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy menzahirkan penghargaan kepada kakitangan Kedutaan Malaysia di Bangkok yang memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis itu.

"Penghargaan dan ucapan tahniah juga kepada Dr Sallehuddin serta pegawainya ekoran kejayaan penganjuran satu lagi sesi ‘Invest Pahang’ di sini.

“Belajar daripada pengalaman lampau, saya sedar bahawa kita tidak akan dapat memberi penyelesaian hanya menerusi sesi soal jawab dan penyediaan panduan. Saya sangat percaya kepada perjumpaan bersemuka dan perbincangan.

“Oleh kerana kepercayaan inilah maka saya menegaskan supaya majlis seumpama ini diadakan bagi mendampingi bakal-bakal pelabur berpotensi secara langsung,” katanya.

Pada lawatan itu, Wan Rosdy turut mengadakan sesi pertemuan dan perbincangan dengan kepimpinan syarikat Berli Jucker Public Ltd dan Garden Office Holdings Co serta Dewan Perniagaan Thailand-Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!