Covid-19: Agong bimbang, titah rakyat main peranan bantu KKM

Agong hari ini menzahirkan kebimbangan susulan pengesanan 28 kes baharu jangkitan Covid-19 semalam.
Agong hari ini menzahirkan kebimbangan susulan pengesanan 28 kes baharu jangkitan Covid-19 semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan susulan pengesanan 28 kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda menitahkan rakyat Malaysia untuk memainkan peranan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan dan mengenal pasti kontak rapat pesakit baharu tersebut supaya jangkitan Covid-19 dibendung dengan segera dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda bertitah rakyat turut digesa untuk menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara CPRC) melalui laman sesawang KKM untuk sebarang keraguan dan pertanyaan serta maklumat,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan rakyat supaya patuh kepada panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan KKM untuk mengelak penularan Covid-19.

"Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan penganjur-penganjur majlis menjalankan saringan gejala dan sejarah perjalanan ke China dalam tempoh 14 hari kebelakangan dari tarikh program terhadap peserta selain menyediakan cecair pembasmi kuman yang mencukupi bagi kegunaan peserta," katanya.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas tindakan segera, rawatan dan pemantauan berterusan oleh KKM serta agensi berkaitan dalam usaha memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksana secara berkesan.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan atas usaha KKM menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan ALLAH SWT supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak ini serta memudahkan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan terjejas menangani gejala wabak ini,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan angka positif Covid-19 terus meningkat kepada 83 kes apabila KKM mengesahkan menerima 28 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kes baharu itu terdiri dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI), kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

"Sehingga kini, sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes positif Covid-19 meningkat kepada 83 hari ini