Sila log masuk terlebih dahulu.

MH370: Isteri luah 'tiada kubur, tiada pesan'

Intan memuat naik gambar suaminya genap enam tahun misteri kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Instagram miliknya.
Intan memuat naik gambar suaminya genap enam tahun misteri kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Instagram miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua hari lagi, genap enam tahun misteri kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Tempoh kehilangan cukup lama itu bagaimanapun tidak melunturkan ingatan waris mangsa pada insan tersayang termasuk isteri kepada pramugara MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman.

Melalui luahan di Instagramnya, Maizura menggambarkan enam tahun yang berlalu merupakan waktu sangat pantas.

"Tiada kubur, tiada pesan, tiada lagi tangisan seperti dulu.. Hidup mesti saya teruskan, kan ALLAH dah janji 'mati itu pasti'.

"Tidak mengapa, ALLAH ada, anak-anak semakin membesar, mereka membesar dengan tangisan, tak mengerti sepatah apa, hanya jawapan tipu hari demi hari," coretnya.

Jelasnya, sukar untuk memberi segala jawapan kepada anak-anaknya apa yang berlaku, namun kini anak sulungnya, Iman, 11, sudah mula mengerti.

"Mengerti tak semestinya boleh fahami tapi semuanya samar-samar hingga ke mati. Lahirnya Muhammad, seorang bayi yang kuat. Dia faham untuk tidak menyusahkan hati ibunya yang kosong.

"Sedari kecil anak ini tak pernah menyusahkan hanya tangis bila lapar, lapar dan lapar, tidurnya mudah, senyum sahaja. Sedari kecil sudah berdikari, semuanya mudah berkat dari Ilahi," statusnya yang tular di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Mengharungi hidup sendirian, Intan mengharapkan agar dua anaknya itu sentiasa di bawah lindungan ALLAH SWT dan menjadi anak yang soleh serta mendoakan yang terbaik untuk bapanya.

"Tak lekang dari bibir setiap mereka menyebut papa, papa, papa. Moga cinta mereka sentiasa mekar hingga ke syurga," katanya.

Melalui hantaran di Instagram, Intan juga memuat naik video klip nyanyian Dayang Nurfaizah bertajuk 'Di pintu syurga' sekali gus meruntuh jiwa netizen.

Kekuatan dan semangat terus diberikan oleh netizen kepada Intan agar terus tabah dan mendoakan keluarga itu akan ditemukan di syurga.

6 tahun sudah berlalu.. Tak perasan waktu pantasnya pergi.. Tiada kubur.. Tiada pesan.. Tiada lagi tangisan seperti dulu.. hidup mesti aku teruskan kan Allah dah janji "mati itu pasti" Takpe, Allah ada.. Anak2 makin membesar.. Mereka membesar dengan tangisan.. Tak mengerti sepatah apa.. Hanya jawapan tipu hari demi hari.. Buntu nak jawab apa lagi.. Sehingga kini baru Iman mengerti, mengerti tak semestinya boleh fahami tapi semuanya samar2 hingga ke mati.. Lahirnya Muhammad seorang bayi yang kuat. Dia fahami untuk tidak menyusahkan hati ibunya yang kosong.. Sedari kecil anak ini tak pernah menyusahkan.. hanya tangis bila lapar, lapar dan lapar.. tidurnya mudah, senyum sahaja.. Sedari kecik sudah berdikari.. semuanya mudah berkat dari Ilahi. Sakit kuning, batuk, demam selsema, itu biasa.. ke hulu ke hilir ibu sendiri.. Janji anak kecil ini sembuh dan tak susahkan hati mommy.. Aku harapkan anak2 ini sentiasa di bawah lindungan Allah yang Esa.. menjadi anak2 yang soleh supaya dapat mendoakan papa yang berada di sana. Tak lekang dari bibir setiap mereka menyebut papa papa papa.. Moga cinta mereka sentiasa mekar hingga ke syurga.. Ya Allah, permudahkanlah segalanya .. Aamiin Ya Rabbalalamin

A post shared by INTAN MAIZURA OTHAMAN (@intanmaizuraothaman) on Mar 5, 2020 at 8:32pm PST