X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah KL nafi hakim dijangkiti Covid-19

A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Mahkamah Kuala Lumpur, Ahmad Kamar Jamaludin menafikan khabar angin bahawa terdapat hakim di mahkamah itu dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Beliau membuat penafian itu ketika ditanya mengenai kesahihan maklumat tersebut yang tersebar di aplikasi WhatsApp hari ini.

“Maklumat tak betul. Tiada sesiapa di MKL (Mahkamah Kuala Lumpur) terkena Covid-19,” katanya menerusi satu mesej ringkas kepada pemberita.

Ahmad Kamar bagaimanapun mengesahkan terdapat arahan untuk prosiding membabitkan pengurusan kes dan sebutan kes didengar di mahkamah terbuka.

Kebiasaannya prosiding pengurusan kes dan sebutan kes dijalankan di dalam kamar hakim.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat notis dilekatkan di pintu masuk dua bilik mahkamah yang tertera ‘Berikutan penularan virus Covid-19, semua peguam dan orang awam yang hadir di mahkamah tinggi sila pastikan anda memakai topeng muka sepanjang masa apabila berurusan di mahkamah ini sama ada bagi tujuan perbicaraan, menghantar dokumen dan urusan-urusan lain’.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor ketika dihubungi Bernama mengesahkan pihaknya ada menerima salinan surat makluman bertarikh 6 Mac 2020 yang ditandatangani oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh membabitkan prosiding pengurusan kes dan sebutan kes di mahkamah terbuka.

Surat itu menyatakan bahawa semua pengurusan kes yang melibatkan kehadiran pihak-pihak di mahkamah dan sebutan kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Semenanjung Malaysia hendaklah didengar di mahkamah terbuka.

Surat itu juga menyatakan kesemua kes mediasi yang melibatkan kehadiran pihak-pihak di mahkamah ditangguhkan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan dan kedua-dua arahan itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Surat itu yang ditujukan kepada semua hakim dan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi serta hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret di Semenanjung Malaysia menyatakan kedua-dua arahan berkenaan dikeluarkan hasil rundingan dengan Ketua Hakim Negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!