Kes positif Covid-19 meningkat kepada 83 hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Angka positif koronavirus (Covid-19) terus meningkat kepada 83 kes apabila Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan menerima 28 kes baharu, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kes baharu itu terdiri dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI), kontak rapat dan Misi Bantuan Kemanusiaan.

"Sehingga kini, sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 258 kontak rapat kepada kluster kes ke-26 telah dikesan dan diambil sampel.

"Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif manakala 70 lagi negatif, namun begitu, mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari," katanya.

Carta pengesanan kontak rapat bagi kes ke-26 dikeluarkan oleh KKM.
Carta pengesanan kontak rapat bagi kes ke-26 dikeluarkan oleh KKM.

Beliau berkata, seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal.

"Mereka juga telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat bagi mengenal pasti punca jangkitan dan seterusnya mencegah penularan wabak berkenaan.

Menurutnya, KKM telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak kes positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif: UDA Holdings

Covid-19: Kakitangan UDA diarah kerja dari rumah

Pengerusi UDA nafi jadi punca gelombang kedua Covid-19

"Sehingga hari ini, sebanyak 430 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

"Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik Covid-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes ke-24 yang sebelum ini positif telah disahkan pulih dan telah discaj dari Hospital Kuala Lumpur.

"Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini," katanya.

Pada perkembangan sama, KKM memaklumkan menerusi 'Code of Professional Conduct' di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012) dan Peraturan Perubatan, pengamal perubatan perlu memastikan kerahsiaan maklumat peribadi pesakit adalah dijaga, kecuali jika pesakit sendiri mendedahkan maklumat beliau secara sukarela.

"Justeru, KKM akan melindungi maklumat peribadi pesakit.

"Selain itu KKM juga akan terus menyampaikan maklumat penting terutama yang relevan bagi kepentingan kesihatan awam," katanya.