Kerajaan baharu perlu kembalikan keyakinan rakyat

Persepsi rakyat terhadap kerajaan dan parti-parti politik harus diperbetulkan selepas proses peralihan kuasa yang rumit sehingga kebajikan dan kepentingan rakyat dilihat kurang diberi tumpuan. - Gambar hiasan/Foto 123RF
Persepsi rakyat terhadap kerajaan dan parti-parti politik harus diperbetulkan selepas proses peralihan kuasa yang rumit sehingga kebajikan dan kepentingan rakyat dilihat kurang diberi tumpuan. - Gambar hiasan/Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada kerajaan serta membetulkan persepsi mereka terhadap parti politik merupakan dua perkara utama yang perlu dilakukan pucuk pimpinan baharu negara dan barisan Kabinetnya.

Penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, membetulkan persepsi bukan perkara mudah untuk dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ia akan mengambil masa.

“Ia mampu dilakukan sekiranya hala tuju kerajaan baharu jelas dari segi polisi dan dasar kerajaan dan pada masa yang sama mengukur dan menilai keupayaan.

“Bagaimana kerajaan baharu mampu menghadapi cabaran-cabaran terkini iaitu membaik pulih ekonomi, kesiapsiagaan menghadapi Covid-19 yang sedang melanda (secara) global dan seterusnya bagaimana mampu menyatukan semula rakyat pelbagai kaum,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata semua pihak harus memandang ke hadapan setelah polemik politik berakhir dan ia harus dijadikan sebagai penutup.

Menurut Chinnasamy, pergelutan kuasa minggu lalu telah ‘melukakan’ kepercayaan rakyat terhadap demokrasi dan sistem politik yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi di sebalik cabaran global dan ancaman Covid-19.

Jelasnya, persepsi rakyat terhadap kerajaan dan parti-parti politik harus diperbetulkan selepas proses peralihan kuasa yang rumit sehingga kebajikan dan kepentingan rakyat dilihat kurang diberi tumpuan.

Sementara itu, Chinnasamy berkata kerajaan gabungan baharu harus merangka strategi tepat selain memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan pemimpin, ahli dan penyokong dalam perjuangan parti.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerjasama itu perlu membuktikan ia dapat membela serta menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Di sinilah keupayaan barisan Kabinet baharu akan dinilai. Setelah kita melihat pelbagai episod politik minggu lalu, (rakyat ingin melihat) bagaimana Perdana Menteri mampu menetapkan konsensus perdamaian bukan setakat dengan parti politik serta gabungan-gabungan komponennya malah dengan rakyat sekali.

“Perpecahan politik dalam kalangan rakyat biasa dilihat daripada kaca mata perkauman dan kebencian sesetengah daripada kita telah sampai ke paras yang membimbangkan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpendapat pemulihan semula persepsi terhadap kerajaan perlu dilakukan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Perdana Menteri yang baru dilantik itu perlu memastikan semua parti gabungan kekal bersama dengan agenda besar ‘merakyatkan kepimpinan’.

“Ini boleh bermula dengan pembentukan Kabinet berwibawa cerminan nilai integriti, keupayaan dan latar yang merangkumi kepelbagaian gender, umur, agama atau etnik, pendidikan, kenegerian dan kelas sosial supaya mendekati (menepati) permintaan, keperluan dan pemikiran rakyat.

“Ini perlu disusuli dengan memberi keutamaan kepada isu kos sara hidup, ekonomi, kesihatan, pendidikan, banteras rasuah dan perpaduan supaya menjadi lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan tindakan-tindakan rasional dan praktikal tanpa kekeliruan akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan, sebagai contoh melihat kelemahan pentadbiran sebelum ini dan seterusnya membuat penambahbaikan. - Bernama