Jurujual tidak mengaku salah hina Agong dan Sultan Johor

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di laman sosial Facebooknya, pada 15 Januari dan 2 Mac lalu.

Tertuduh, Azrin Bidin, 42, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 15 Januari lebih kurang jam 8.41 pagi dan 2 Mac sekitar jam 8.29 malam hingga 11 malam di Bandar Seremban Selatan melalui perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan laman profil Facebook Azrin Bidin.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim memohon wang jaminan sebanyak RM15,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan kerana tertuduh telah melakukan penghinaan cukup tinggi terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia perlu menyara keluarga dan isteri yang tidak bekerja.

Hakim Madihah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM26,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: