PKR Cabang Sabak Bernam nafi 850 ahli PKR keluar parti

Abu Talib (tengah) bersama sebahagian mereka mengumumkan keluar PKR Sabtu lalu. Gambar kecil: Rahim
Abu Talib (tengah) bersama sebahagian mereka mengumumkan keluar PKR Sabtu lalu. Gambar kecil: Rahim
A
A
A

SABAK BERNAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sabak Bernam menafikan seramai 850 ahli cabang parti itu meninggalkan parti berkenaan.

Ketuanya, Datuk Seri Rahim Ahmad berkata, parti itu tidak lumpuh, malah terus bergiat aktif dalam menarik sokongan rakyat.

Menurutnya, kenyataan bahawa ahli PKR keluar parti hanyalah tuduhan tidak berasas memandangkan tindakan hanya dilakukan beberapa pemimpin peringkat cabang itu yang tewas pada pemilihan PKR 2018.

"Mereka sebenarnya bukanlah ahli PKR sejati dan hanyalah pembelot, malah saya difahamkan sebahagian mereka merupakan pengundi luar yang tidak setia kepada parti.

"Saya fikir elok juga mereka keluar sebab sekarang kita mengetahui siapa ahli PKR 'musang berbulu ayam'," katanya.

Rahim berkata, PKR Cabang Sabak Bernam tetap setia dan teguh di bawah kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pihaknya sentiasa memastikan parti dalam keadaan lebih baik dan meningkatkan jumlah keahlian.

"Pada masa ini, jumlah keahlian PKR Cabang Sabak Bernam melebihi 5, 000 dan permohonan ahli baru melebihi 200 pemohon," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rahim memberitahu, sebanyak dua ranting berjaya ditubuhkan iaitu di Kampung Kita dan Sungai Lias.

"Kita juga menyasarkan sebanyak 17 ranting baru ditubuhkan pada akhir tahun ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bekas Ketua PKR Cabang Sabak Bernam, Abu Talib Bujang bersama kira-kira 850 ahli PKR Cabang Sabak Bernam mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa Sabtu lalu.

Abu Talib berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan dengan kepimpinan Anwar yang menyebabkan perpecahan dan gagal menyatukan ahli parti itu di semua peringkat.