X

Kindly register in order to view this article
!

Permintaan topeng muka cecah 15 juta sebulan

Hasnol Zam Zam
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati jumlah permintaan topeng muka di pasaran ketika ini mencecah 15 juta sebulan berbanding lima juta sebelum ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peningkatan tiga kali ganda itu berlaku susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia termasuk Malaysia.

"Anggaran dalam keadaan biasa, penghasilan kita lima juta penutup mulut dan hidung sebulan tapi permintaan telah meningkat sampai 15 juta iaitu tiga kali ganda daripada kebiasaan.

"Pada masa yang sama, kita hadapi masalah dari segi pengimportan bahan mentah untuk buat penutup mulut dan hidung.

"Ia dikawal oleh negara-negara berkenaan kerana mereka juga memerlukan bahan mentah tersebut. Kalau dapat masuk pun mungkin akan melibatkan harga yang tinggi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasnol berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan akan menghentikan sementara aktiviti eksport topeng muka bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan dalam negara dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, perkara itu juga telah dibincangkan di peringkat jawatankuasa tertinggi dalam mengekang wabak itu.

Katanya, idea tersebut juga telah diterima dan perkara itu sedang melalui proses tertentu.

"Kebanyakan penghasilan (topeng muka) tempatan adalah untuk eksport tapi sebenarnya lebih kepada penggunaan industri dan pembuatan, bukan untuk kegunaan biasa.

"Penggunaan biasa permintaan untuk tiga lapis ini memang rendah nilainya. Jumlahnya untuk eksport pun kecil," katanya.

Bagaimanapun katanya, kementerian juga akan teliti tahap keperluan produk itu di dalam negara sama ada melibatkan komitmen jangka pendek atau sebaliknya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!