Hampir sejam keluarkan mayat tersepit

Keadaan kereta mangsa selepas terbabas dan merempuh tembok Jambatan Pulau Pinang.
Keadaan kereta mangsa selepas terbabas dan merempuh tembok Jambatan Pulau Pinang.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh tembok dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menuju ke Perai di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.50 pagi itu, mangsa, Lim Yen Tat, 26, yang tersepit di dalam kenderaan jenis Volkswagen disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan, pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat pemandu.

Kejadian itu turut menyebabkan tembok konkrit jambatan terbabit rosak akibat rempuhan kuat kereta berkenaan.

Tembok Jambatan Pulau Pinang rosak selepas dirempuh kereta mangsa.
Tembok Jambatan Pulau Pinang rosak selepas dirempuh kereta mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau turut mengesahkan tiada mangsa lain terlibat dengan kejadian berkenaan susulan penemuan sepasang kasut wanita dalam kereta terbabit.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: