Dua ADUN Bersatu Pulau Pinang sokong PH

Kon Yeow (tengah) mengadakan pertemuan dengan Khaliq (dua dari kiri) dan Zolkifly (kiri) minggu lalu.
Kon Yeow (tengah) mengadakan pertemuan dengan Khaliq (dua dari kiri) dan Zolkifly (kiri) minggu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Pulau Pinang akhirnya menyatakan sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan bersama sebentar tadi, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim menegaskan, mereka akan terus menyokong dan mendukung pentadbiran PH di negeri ini.

"Kami bertanding Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dan telah diberi sokongan oleh pengundi untuk menentang kleptokrat selain membina Malaysia baharu yang berintegriti.

"Kami terus bersama Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Wira Marzuki Yahya dan kepimpinan parti negeri sepakat akan membawa mandat rakyat ini untuk terus bersama menyokong kerajaan PH di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri PH tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua ADUN itu sehingga mereka menyatakan pendirian dengan jelas terhadap pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang.

Menurutnya, kedua-dua wakil rakyat itu boleh diminta mengosongkan kerusi sekiranya tidak lagi menyokong Pakatan Harapan berdasarkan undang-undang anti lompat parti kerajaan Pulau Pinang.

"Setelah dikosongkan, pilihan raya kecil akan dilakukan. Bagaimanapun, kita tunggu dulu.

"Ini kerana, ada beberapa negeri, wakil rakyat Bersatu berada di pihak kerajaan Pusat dan ada yang bersama PH," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Status dua ADUN Bersatu Pulau Pinang akan ditentukan

Minggu lalu, Kon Yeow mengesahkan status quo dua ADUN Bersatu Pulau Pinang adalah kekal sama sehingga keputusan lanjut daripada kerajaan Persekutuan dibuat kelak.

Keputusan itu dibuat selepas Kon Yeow mengadakan pertemuan dengan Khaliq dan Zolkifky di pejabatnya.

Dalam perjumpaan tersebut, kedua-dua ADUN terus komited menyatakan sokongan terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Perjumpaan itu susulan Bersatu mengumumkan keluar daripada PH yang diumumkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu kenyataan dengan menyatakan ia diputuskan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan 24 Februari lalu.