Tiada keperluan adakan sidang DUN khas: Hasni

Hasni (tengah) bersama barisan Exco kerajaan negeri Johor yang baharu.
Hasni (tengah) bersama barisan Exco kerajaan negeri Johor yang baharu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiada keperluan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas kerana kerajaan gabungan di bawah Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sudah terbukti mempunyai majoriti mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perkara itu dilaksanakan berdasarkan undang tubuh kerajaan negeri selain sudah mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Saya rasa Speaker DUN sedia tahu mengenai persidangan dewan khas, jika hendak buat sidang dewan khas untuk nyatakan sokongan majoriti gabungan baharu perkara ini sudah diputuskan oleh undang-undang tubuh negeri Johor.

"Kita (gabungan baharu) tiada masalah untuk memahami undang-undang DUN. Cuma saya tidak nampak keperluan sidang dewan khas," katanya pada sidang media selepas lantikan barisan Exco kerajaan negeri baharu di Saujana Johor Bahru pagi tadi.

Pakatan Harapan (PH) Johor semalam memohon satu sidang DUN khas diadakan dalam masa terdekat.

Penyelaras PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sidang DUN khas itu penting bagi membuktikan gabungan baharu kerajaan Johor di bawah Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad mempunyai majoriti bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

PH dijangka menyerahkan surat permohonan berkenaan kepada Speaker DUN, Suhaizan Kaiat Ahad ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PH Johor mohon sidang DUN khas

Artikel Berkaitan: