MU kembali mengganas

Shaw turut mencatat nama selaku penjaring dalam aksi menentang County awal pagi tadi. - Foto The Sun.CO.UK
Shaw turut mencatat nama selaku penjaring dalam aksi menentang County awal pagi tadi. - Foto The Sun.CO.UK
A
A
A

KEMENANGAN 3-0 Manchester United ke atas Derby County dalam aksi Piala FA awal pagi tadi menyaksikan The Red Devils masih belum kalah dalam sembilan perlawanan terakhir yang dilalui mereka.

Pertahanan United, Luke Shaw percaya kemenangan tersebut akan memberikan momentum kepada pasukan untuk meraih lebih banyak keputusan positif dalam baki perlawanan terutama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kami sedang berada dalam momentum terbaik dengan keupayaan menjaringkan gol dan aksi konsisten di benteng pertahanan. Ada perlawanan penting minggu ini (menentang Manchester City) kami tidak sabar untuk menghadapinya.

"Kami juga mempunyai keyakinan yang tinggi ketika ini. Kami sememangnya bergerak maju, jadi kami perlu teruskan keyakinan dan teruskan kemenangan," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Park Pride itu, Shaw turut menjaringkan satu gol manakala Odion Ighalo mencetak dua gol sekali gus membawa United mara ke perlawanan suku akhir menentang Norwich City pada 21 Mac ini.

Daripada sembilan perlawanan, United meraih enam kemenangan dan tiga seri menjadikan aksi terbaik yang pernah dipamerkan pasukan itu sejak kali terakhir pada Februari tahun lalu dengan rekod 11 perlawanan tanpa kalah.

Bagaimanapun pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer masih belum berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya.

Menurutnya, walaupun menang dengan jaringan besar, gawang United yang dikawal Sergio Romero hampir beberapa kali dibolosi oleh serangan balas Derby County.

Artikel Berkaitan:

"Anda mesti berfikir kemenangan ini diraih dengan mudah jika melihat keputusan 3-0 itu. Tetapi ada beberapa situasi merbahaya yang saya kurang puas hati.

"Saya rasa para pemain tidak bermain dengan baik, namun saya berpuas hati kerana masih mampu menjaringkan gol dan menang perlawanan ini," katanya.