4 ADUN Bersatu sokong PH tak faham situasi: Abdul Rashid

Rashid (dua dari kanan) menjawab soalan ketika sidang media yang berlangsung di Bangunan SSAAS hari ini.
Rashid (dua dari kanan) menjawab soalan ketika sidang media yang berlangsung di Bangunan SSAAS hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) didakwa tidak memahami situasi sebenar dalam kerajaan Pusat.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, berikutan itu pihaknya bersedia bersemuka dengan empat ADUN berkenaan bagi memberi maklumat sebenar mengenai perkembangan yang berlaku dalam peralihan kuasa baru-baru ini.

Rashid berkata, beliau hanya mengetahui hasrat ADUN itu melalui media massa dan bukan secara peribadi daripada pihak terlibat.

"Sebagai Pengerusi Bersatu Selangor, saya bersedia bertemu mereka dan terangkan keadaan sebenar yang berlaku. Selepas itu terpulang kepada mereka sama ada untuk kekal atau sebaliknya," katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, empat ADUN Bersatu, Sallehudin Amiruddin (Kuang), Harumaini Omar (Batang Kali), Mohd Shaid Rosli (Jeram) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil) menyatakan sokongan kepada kerajaan PH di Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat ADUN Bersatu sokong PH jumpa MB Selangor esok

Sementara itu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang medianya berkata, kerajaan Selangor menyingkirkan Bersatu daripada parti komponen PH selepas mengambil kira penjajaran semula politik negara yang berlaku di peringkat pusat.

Mengulas mengenai dakwaan empat ADUN berkenaan bahawa beliau tidak dapat dihubungi sebelum ini, Rashid menafikan perkara itu dan memaklumkan sentiasa berkomunikasi dengan ketua-ketua bahagian di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Sepatutnya saya perlu ke Berlin, Jerman atas urusan rasmi kerajaan negeri namun saya batalkan kerana lebih mementingkan kedudukan parti dan politik di Selangor.

"Jadi dakwaan itu (tidak dapat dihubungi) adalah tidak benar," katanya.

Dalam pada itu, Rashid yang sebelum ini memegang jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Perbadanan Melayu dan Warisan juga memaklumkan pihaknya menghormati keputusan kerajaan negeri untuk mengeluarkan wakil Bersatu dari pentadbiran negeri.

Kata Rashid, Bersatu Selangor mengucapkan terima kasih kepada Amirudin kerana memberi peluang dan ruang secukupnya buat wakil parti itu.

"Saya juga akan pastikan tiada peruntukan daripada kerajaan Persekutuan ditarik balik atau digantung daripada kerajaan negeri," katanya.