Aura Mukhriz di Kedah

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

CUACA di Kedah ketika ini mencecah antara 34-37 darjah Celsius. Bak kata orang Kedah, ‘panaih lit lit’ sehingga ramai yang lebih suka berkurung dalam rumah sahaja.

Namun sebenarnya di sebalik kehangatan itu, bulan Februari dan Mac dinanti-nantikan kerana terdapat dua keunikan yang ada di negeri Jelapang Padi ini.

Fenomena jerami gulung yang menjadi tarikan sebagai lokasi bergambar seperti di Kampung Kuala Dulang Kecil, Yan menggamit ribuan pengunjung sejak tular di media sosial.

Sehinggakan ia diberi jolokan ‘jerami gulung ala-Texas’, itulah antara riadah orang kampung melepaskan lelah sebelum musim penanaman bermula bulan depan.

Satu lagi yang menjadi kemestian saban tahun ialah bunga Tecoma atau Sakura Jepun yang turut dijadikan lokasi bergambar dengan taburan bunganya yang cukup indah.

Namun keindahan dua fenomena alam itu seakan-akan tenggelam dengan kehangatan politik sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri.

Kekecohan politik di Kedah mungkin tidak berapa dirasai susulan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir lebih awal mengumumkan kerajaan negeri diterajui gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus mengurangkan kegusaran rakyat Kedah.

Ini kerana kerajaan negeri kini berbeza dengan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional (Bersatu, Pas dan UMNO) dan sudah tentu Kedah merupakan negeri pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang meramalkan PH dan Bersatu di Kedah bakal tumbang dan diambil alih oleh Pas, memandangkan parti itu memiliki jumlah kerusi terbanyak di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 15 kerusi.

Namun harus diingat sejarah lalu membuktikan aura Mukhriz sangat menebal di negeri ini sejak 2013 apabila Mukhriz diuarkan sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya rakyat memulangkan mandat kepada Barisan Nasional (BN).

Kedah ketika itu ditadbir Pas bawah kepimpinan bukan calang-calang pemimpin, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang dikenali sebagai tokoh profesional dan ulama yang berjaya merubah landskap Kedah ke arah pencapaian lebih baik.

Populariti bapa

Ketika itu, ramai menganggap Mukhriz hanya bergantung kepada populariti bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa sebarang idea untuk membangunkan Kedah. Namun aura Mukhriz-Mahathir ternyata berkesan untuk BN merampas kembali Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setelah mentadbir Kedah dengan pendekatan berhemah dan dianggap tidak gemar menabur habuan untuk pemimpin bawahannya, Mukhriz berdepan situasi sukar apabila hilang kepercayaan daripada UMNO Kedah dan wakil rakyat secara konsensus pada 20 Januari 2016 sekali gus menolak beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi UMNO Kedah.

Kelantangan suara Mukhriz memberikan pandangan yang kurang senada dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan wujud usaha di peringkat dalaman parti untuk menjatuhkannya.

Akhirnya Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada 3 Februari 2016, apabila hilang sokongan majoriti di DUN Kedah.

Mukhriz turut dipecat daripada UMNO pada 24 Jun 2016 dan bermulalah era Mukhriz sebagai pemimpin pembangkang, namun auranya masih diterima rakyat Kedah sehinggalah beliau dan beberapa pemimpin bekas UMNO menubuhkan Bersatu.

Mukhriz bangkit bersama PH dan berjaya merampas Kedah daripada BN yang kalah teruk pada PRU14.

Masih terngiang perkataan pertama diungkapkan Mukhriz sebaik dilantik buat kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah, I'm back, cuma bezanya bersama PH.

Liku politik Mukhriz tidak berakhir di situ, kini beliau sekali lagi berdepan saat sukar apabila tidak senada dengan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Mukhriz selaku Timbalannya hanya menunggu masa kemungkinan dikenakan tindakan oleh parti yang diasaskannya itu.

Namun sehingga kini, nasib Mukhriz dalam parti belum diketahui termasuk jawatan Menteri Besar yang disandangnya sekiranya berlaku perubahan seperti diarahkan kepimpinan Pusat.

Adakah sejarah 2016 bakal berulang, dan adakah aura Mukhriz masih mampu bertahan di bumi Kedah ini, kita tunggu dan lihat perkembangan politik seterusnya.

*Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian