Bantu tidak kira agama, bangsa

Bantuan diberikan kepada penduduk yang baru berpindah ke Taman Banggol Indah.
Bantuan diberikan kepada penduduk yang baru berpindah ke Taman Banggol Indah.
A
A
A

KEMAMAN - Perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik bukanlah penghalang bagi penduduk di Taman Banggol Indah di sini menjayakan pelbagai aktiviti bersama-sama termasuk membantu golongan yang memerlukan.

Keakraban antara mereka dapat dilihat melalui kerjasama berterusan antara kumpulan Sukarelawan Taman Banggol Indah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu.

Terbaru, mereka menjayakan program bantuan kepada orang miskin di Kampung Banggol Indah, Kampung Paya Berenjut, Kampung Fikri, Kampung Chandor dan Kampung Mak Lagam.

Pengerusi Sukarelawan Taman Banggol Indah, Tay Siong Kwang berkata, tiada peruntukan khusus bagi menjayakan program berkenaan, sebaliknya bantuan diberikan berdasarkan keperluan dan maklumat daripada masyarakat setempat.

"Walaupun masyarakat Cina di sini tidak ramai, tapi kami ada dan bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan dengan rukun dan aman bersama-sama masyarakat Melayu yang lain.

"Sebab itu kami boleh bersepakat dengan menubuhkan pasukan sukarelawan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik sebagai tanda keprihatinan kami kepada masyarakat.

"Kami juga bertuah kerana mendapat sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, antaranya KRT Taman Banggol Indah, Surau Taman Banggol Indah dan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada kumpulan Sukarelawan Taman Banggol Indah dan KRT taman itu yang aktif turun padang menjayakan program bersama.
Sebahagian daripada kumpulan Sukarelawan Taman Banggol Indah dan KRT taman itu yang aktif turun padang menjayakan program bersama.

Jelas Siong Kwang, program kebajikan dan aktiviti yang dijayakan juga tidak terhad untuk penduduk di taman itu sahaja, tetapi juga melibatkan kampung sekitar.

Malah, mereka baharu sahaja menjayakan program berbasikal sambil beramal ke rumah anak yatim di Alam Perdana dan dua pusat tahfiz baru-baru ini.

"Prinsip kami mudah sahaja, beramal tanpa melihat sebarang perbezaan. Tidak luak pun kalau kita bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.