X

Kindly register in order to view this article
!

AS terpaksa berundur elak malu

A
A

Pada Sabtu lalu, Amerika Syarikat (AS) menandatangani perjanjian bersejarah dengan pihak Taliban yang bakal menyaksikan pengunduran sepenuhnya tentera negara itu dari Afghanistan.

Perkembangan itu memuktamadkan pendirian Presiden Donald Trump untuk membawa keluar AS daripada kemelut yang berpanjangan.

Pihak Taliban diwakili Mullah Abdul Ghani Barada menandatangani perjanjian itu manakala Ketua Perunding Washington yang juga Duta Khas AS ke Afghanistan, Zalmay Khalilzad menandatangani perjanjian bersama itu di sebuah hotel di Doha, Qatar. Turut hadir ialah Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi serta delegasi menteri muda kerajaan Afghanistan.

Doha menempatkan pejabat rasmi Taliban sejak tahun 2013 yang juga lokasi pertemuan bagi membincangkan pelan damai dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk AS.

Tidak sukar untuk meneka mengapa Washington mengambil keputusan untuk berdamai setelah terheret dalam konflik selama 18 tahun dan paling lama berbanding Perang Vietnam. Perang di Indochina menyaksikan 58,220 orang tenteranya terkorban.

Sehingga kini, korban tentera AS di Afghanistan berjumlah 2,400 orang manakala lebih 20,000 tercedera. Sepanjang tempoh itu kira-kira 65,000 tentera telah dihantar bertugas.

Konflik Afghanistan umpama luka parah bagi AS kerana tindakan ketenteraan bersama kerajaan negara itu gagal melemahkan Taliban yang menguasai kira-kira 70 peratus Afghanistan.Tindakan itu berkait dengan politik dalaman AS di mana Presiden Trump perlu mempertaruhkan nasib untuk pemilihan penggal kedua sebagai Presiden kerana salah satu polisi beliau ialah membawa keluar tentera AS dari sana.Justeru, perjanjian damai itu bakal menyaksikan pengunduran kira-kira 13,000 tentera AS secara berperingkat. Selain itu, seramai 14,000 tentera dari 39 negara lagi menyertai perang termasuk melatih tentera dan polis Afghanistan.

MaruahTrump dilihat menyelamatkan maruah AS untuk keluar secara terhormat dari bumi Afghanistan berbanding terus berperang yang tidak berpihak kepada Washington.

Tanpa rundingan dengan pihak Taliban, penarikan keluar tentera AS kelihatan seolah-olah Washington tewas, manakala strategi perang Trump pula tidak mahu pasukan tenteranya diberi gambaran sebegitu.

Setelah ancaman Al-Qaeda ditamatkan, maka AS perlu melihat semula penglibatan dalam konflik di Afghanistan walaupun tiada jaminan wujud pula kumpulan militan lain kelak.

Perbalahan dalam kerajaan Kabul juga tidak berkesudahan selain hubungan antara Presiden Ashraf Ghani Ahmadzai (etnik Pashtun) dengan Ketua Eksekutif negara, Abdullah Abdullah daripada etnik Tajikistan.

Bagi pihak Taliban, perjanjian damai itu merupakan kemenangan bukan sahaja bagi mereka tetapi rakyat yang menolak campur tangan kuasa luar. AS menjadi negara kuasa ketiga keluar selepas Soviet pada tahun 1989.

Pengaruh Taliban yang menguasai Afghanistan selama lima tahun selepas perang saudara antara tahun 1992-1996 khususnya dalam kalangan etnik Pashtun amat besar. Mereka amat dihormati. Baki 30 peratus lagi pengaruh dikuasai pihak Pakatan Utara yang merupakan etnik Tajikistan.

Perjanjian itu akan membuka ruang dialog antara Taliban dan kerajaan Kabul. Bagaimanapun, sama ada Taliban mengotakan janji untuk kekalkan keamanan sukar dijangka.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!