KAFA serius pantau siaran langsung haram

KAFA akan pantau Live Streaming haram. Gambar kanan: Husin Deraman
KAFA akan pantau Live Streaming haram. Gambar kanan: Husin Deraman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) sedia mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang didapati membuat 'live streaming' secara haram melibatkan aksi Team Red Warriors (TRW) menerusi platform media sosial sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, langkah itu bertepatan dengan peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengharamkan semua siaran langsung membabitkan saingan di bawah kelolaan badan berkenaan.

"Hak penyiaran bagi Liga Malaysia 2020 di bawah kendalian Unifi. Tiada pihak lain dibenarkan untuk membuat ‘live streaming’ kecuali pihak produksi yang dilantik Unifi.

"KAFA bimbang sekiranya ada penyokong 'nakal' yang berbuat demikian boleh menyebabkan badan induk itu berdepan hukuman daripada MFL," katanya kepada media.

Husin memberitahu, ramai yang tidak sedar tindakan tersebut boleh menyebabkan KAFA berdepan hukuman berat daripada pihak MFL.

"Sebagai langkah awal, kita akan menjalinkan kerjasama dengan pasukan keselamatan Stadium Sultan Muhammad IV untuk memantau perkara tersebut," katanya.

Husin berkata, KAFA sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati bersalah melanggar peraturan tersebut.

Katanya, badan induk itu berharap para penyokong dapat menghormati peraturan yang ditetapkan MFL.

"Bukan sahaja aksi di Stadium Sultan Muhammad IV peraturan ini turut dipakai seluruh stadium setiap kali melibatkan saingan bawah kelolaan MFL," ujarnya.

Artikel Berkaitan: