Norsiah sangka hamil, rupanya kanser hati tahap empat

BALING – Sepasang suami isteri di Kampung Bok Bak, di sini, diuji dengan dugaan kesihatan yang berat apabila kedua-duanya menghidap penyakit kronik yang menjejaskan kehidupan seharian mereka sekeluarga.
Norsiah Hashim, 35, yang pada awalnya menyangka dirinya hamil, akhirnya disahkan menghidap kanser hati tahap empat menyebabkan perutnya semakin membesar akibat dipenuhi cecair.
Suaminya pula, Mohd Zaki Md. Isa, 36, menghidap penyakit buah pinggang kronik yang memaksanya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sekali gus tidak lagi mampu melakukan kerja berat.
Menurut Norsiah, dia mula mengalami bengkak pada kedua-dua belah kaki sebelum menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dan disahkan menghidap kanser hati pada Julai tahun lalu.
“Keadaan ini amat mengejutkan saya kerana ia berlaku terlalu cepat. Malah, perut saya semakin membesar seperti wanita hamil sembilan bulan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, yang hadir menziarahi dan menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur pada Isnin.
Norsiah menambah, pergerakannya kini semakin terbatas hingga memaksanya menggunakan tongkat untuk bergerak perlahan di dalam rumah.
Menurutnya, Mohd Zaki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat telekomunikasi, terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan yang semakin merosot.
“Kami hanya bergantung kepada bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk menampung makan minum dan kos ulang-alik ke hospital di Alor Setar,” jelasnya.
Lebih menyedihkan, mereka juga terpaksa meminta bantuan rakan-rakan untuk ke hospital kerana Mohd Zaki tidak lagi mampu memandu jauh disebabkan keadaannya.
Jelas Norsiah, keluarganya turut berdepan ujian lain apabila bapanya, Hashim Lahman, 72, mengalami masalah penglihatan dan pernah menjalani pembedahan pada 2022.
“Abang sulung saya meninggal dunia akibat kanser mulut pada November lalu, manakala kakak saya, Siti Hajar, 40, seorang orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu turut tinggal bersama kami.
“Anak tunggal Siti Hajar, Muhammad Syukur Md Zuki, 21, juga seorang OKU pelbagai dan mereka bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara kehidupan,” katanya lagi.
Jelasnya, sejak dia jatuh sakit dan tidak mampu melakukan kerja rumah, kakaknya Siti Hajar banyak membantu memasak dan menguruskan hal rumah tangga.
Dalam pada itu, Norsiah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa dia memerlukan penderma untuk menjalani pembedahan kanser hati, namun sehingga kini belum menemui penderma yang sesuai.
Keadaan menjadi semakin membimbangkan apabila anak mereka, Nur Aira Medina, 4, turut menghidap penyakit sawan sejak kecil.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 152031673575 atas nama Norsiah Hashim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!