Kekalahan Liverpool, ini pandangan Mufti Wilayah...

Paparan Twitter Mufti Wilayah yang tular di laman sosial tentang pandangan beliau berhubung kekalahan pasukan bola sepak Liverpool.
Paparan Twitter Mufti Wilayah yang tular di laman sosial tentang pandangan beliau berhubung kekalahan pasukan bola sepak Liverpool.
A
A
A

SHAH ALAM - Umum mengetahui Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri antara peminat pasukan bola sepak Liverpool.

Bagaimanapun kekalahan pasukan itu sebanyak tiga kali dalam perlawanan terakhir menjadi bualan hangat di laman sosial hingga membuatkan beliau tampil melontarkan pendapat berhubung isu tersebut.

Katanya, kekalahan itu tidak seharusnya menjadi titik-tolak untuk peminatnya terus berduka sebaliknya kekalahan tersebut menjadi pemangkin untuk kembali muhasabah dan terus bangkit.

"Sukan bola sepak suatu sukan yang penuh kejutan. Bola itu bulat, falsafah yang menatijahkan akan ada pasukan yang menang dan yang kalah. Sesungguhnya ujian selesa dengan kemenangan itu amat berbahaya.

"Liverpool hanya memerlukan empat kemenangan dalam liga untuk mengesahkan kejuaraan liga. Semoga Liverpool tidak terus terleka dan bersegera bangkit untuk terus menang mengesahkan kejuaraan yang dinanti selama 30 tahun ini.

"Di sebalik sebab-sebab kekalahan yang klise seperti jadual perlawanan yang padat dan bukan pemain utama bermain, pasukan Liverpool juga menjadi sasaran seluruh kelab yang menjadi lawan mereka untuk membuktikan sesuatu sehingga boleh kita katakan, mereka berhempas pulas mempamerkan aksi permainan 120 peratus, melebihi kebiasaan permainan mereka," katanya menerusi Twitter miliknya hari ini.

Jelasnya lagi, dalam meraikan hakikat kemenangan dan kekalahan, perlu ditekankan semangat persahabatan dalam sukan bola sepak.

"Saat menang, nikmatilah kemenangan dengan penuh semangat hormat-menghormati.

Artikel Berkaitan:

"Saat kalah, bertabah dan bersabar serta terus memberi sokongan agar pasukan kita kembali bangkit semula. Semoga kita semua dijauhkan dari sikap berkata perkataan buruk antara satu sama lain. Usah suburkan budaya buruk dan tidak bertamadun penyokong-penyokong lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar penyokong Liverpool terus setia menyokong walaupun sukar menerima berita kekalahan.

"Perlu terus memberi sokongan agar pemain mereka bersemangat kembali untuk meneruskan rentak kemenangan sehingga menjulang EPL buat pertama kalinya dalam 30 tahun sesegera yang mungkin," katanya mengakhiri kata-katanya hingga menarik perhatian peminat pasukan tersebut.

Netizen @azmandae memuji pandangan Mufti Wilayah yang disifatkan bernas dan pada masa sama masih terus berdakwah meskipun hanya bercerita tentang bola sepak.