Sabah kekal kerajaan negeri pembangkang

MOHD SHAFIE APDAL
MOHD SHAFIE APDAL
A
A
A

KOTA KINABALU - Selepas enam hari perubahan kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah semalam mengesahkan bahawa mereka kini adalah blok pembangkang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya tidak akan memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Selepas hampir 45 minit bertemu dengan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kita telah nyatakan kedudukan dan pendirian kita di peringkat negeri Sabah, kita akan terus beri sokongan kepada Tun Mahathir.

“Kerjasama antara kerajaan Persekutuan memang sedia ada kita amalkan manakala kerjasama politik bagi kita cukup jelas. Kita beri sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis amanat bersama ahli Parlimen dan ADUN kerajaan Sabah di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, kerjasama dengan kerajaan Pusat akan terus dijalankan demi kepentingan rakyat dan negeri ini.

“Ini termasuk kerjasama tentang rundingan hak-hak Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Tidak semestinya bila pembangkang kita kena faham, kita kena fikir dari segi negara Malaysia.

“Malaysia bukan hanya terbentuk di Semenanjung sahaja tetapi juga merangkumi Sabah dan Sarawak. Jadi perlu ada perundingan tentang hak-hak ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ditanya mengenai hubungan beliau dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohd Shafie berkata, tindakan beliau tidak memberi sokongan kepada Muhyiddin bukan bersifat peribadi.

“Saya harap beliau faham. Saya juga bukan mahu menentang beliau malah kami kawan lama.

“Begitu juga semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan saya pernah kata kepada Najib saya sokong Tun Dr Mahathir walaupun beliau (Najib) kawan saya.

“Sebagai ahli politik kita perlu jelas dengan apa pendirian kita. Bukan itu sahaja, perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan rakyat dan negeri ini," katanya.

Katanya, beliau tidak boleh terikut-ikut dengan apa yang berlaku di Semenanjung kerana beliau perlu memberi tumpuan kepada rakyat dan negeri ini.