Pembantu rumah curi harta Ziela Jalil dijel lapan bulan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pembantu rumah kepada pelakon dan produser terkenal, Datuk Ziela Jalil dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri barangan peribadi milik majikannya berjumlah lebih setengah juta bulan lepas.

Majistret M Saravanan menjatuhkan hukuman itu ke atas Julianah Omar, 32, yang merupakan warga tempatan, selepas Julianah mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Wanita itu didakwa mencuri barangan peribadi kepunyaan Ziela yang keseluruhan berjumlah RM520,000 di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini, kira-kira 11 pagi, 26 Februari lepas.

Tertuduh dihukum mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas Julianah.

Bagaimanapun, peguam Muhamad Razman Sahat yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah menyesal dengan perbuatannya.

“Ini merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya dan dia menjaga ibu bapanya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: