Latheefa tak dapat sahkan audio hasil pintasan risikan


Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, tujuan beliau mendedahkan rakaman audio kepada media dan orang ramai memandangkan kandungan audio itu mengandungi perkara yang sangat serius terhadap kepentingan awam.

Latheefa berkata, rakaman audio itu mendedahkan perbualan yang mewakili ahli lembaga kerajaan seperti SPRM, Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Perdana Menteri yang didakwa terlibat bersekongkol untuk menutup siasatan tertentu terhadap orang yang dipercayai memegang salah satu jawatan tertinggi di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika disoal peguam utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Latheefa memberitahu mahkamah, pada 3 Januari lalu timbalannya Datuk Seri Azam Baki telah memaklumkan bahawa beliau telah menerima bungkusan daripada pegawai khasnya yang dikenali sebagai Zamri.

Bungkusan berkenaan mengandungi sembilan pemacu pena (pendrive) yang kemudiannya didedahkan mengandungi rakaman audio suara yang didakwa milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu yang lain.

Latheefa berkata, rakaman audio itu kemudiannya dikongsi dengan orang ramai dan media kira-kira seminggu kemudian iaitu pada 8 Januari lalu.

Muhammad Shafee kemudian mengasak Latheefa untuk menentukan jika rakaman audio yang bocor itu merupakan hasil pintasan daripada kegiatan pengintipan risikan.

Shafee: Adakah rakaman audio yang bocor itu merupakan hasil pintasan daripada kegiatan pengintipan risikan?

Artikel Berkaitan:

Latheefa: Tidak. Saya tidak akan mengatakan sama ada kami tahu ini adalah (hasil) pintasan atau tidak, ia boleh jadi apa-apa, ia adalah rakaman.

Terdahulu, Shafee mencadangkan kandungan dalam rakaman audio tidak boleh digunakan atau didedahkan sebagai bukti dan hanya boleh digunakan untuk tujuan perisikan.

Latheefa menegaskan dalam keadaan tertentu yang melibatkan kepentingan orang ramai, suruhanjaya antirasuah itu boleh sahaja membuat rakaman berkaitan perkara awam.

Saksi pembelaan ke-13 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Muhammad Shafee.

Menurutnya, ini bukan kali pertama apabila ia melibatkan kepentingan awam yang pihaknya kongsi dengan orang ramai.

Beliau berkata, jika pasukan penyiasat (SPRM) menemukan berjuta-juta wang tunai, gambar akan dikongsi dengan orang awam sebelum wang itu dihantar bagi ditandakan untuk siasatan. Hal ini adalah dalam konteks yang sama.

Beliau kemudian memberitahu mahkamah lagi, berhubung satu siasatan terhadap rasuah jabatan bekalan air di Sabah di mana berjuta-juta ringgit ditemui oleh pihak berkuasa.

Katanya, dalam kes itu, pengarah (Jabatan Bekalan Air Sabah) adalah antara yang dikenal pasti terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ditangguhkan dan disambung Isnin ini.

Latheefa akan menyambung pernyataan saksinya berhubung pendedahan rakaman audio itu.