Suhu 39 celcius di Perlis tidak benar

Gambar kecil: Mohd Saharudi
Gambar kecil: Mohd Saharudi
A
A
A

KANGAR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Perlis nafi mengeluarkan maklumat berhubung peningkatan suhu sehingga 39 darjah celcius di negeri itu sehingga tular menerusi media sosial.

Pengarahnya, Mohd Saharudi Saad berkata, suhu maksimum yang direkodkan ialah 37.4 darjah celcius pada Ahad lalu manakala pada Isnin sehingga semalam 36 darjah celcius.

"Kali terakhir amaran cuaca kering dikeluarkan Met Malaysia pada 14 Februari lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Peralihan angin monsun dijangka berlaku selewat-lewatnya penghujung bulan ini yang menyebabkan Perlis akan menerima taburan hujan pada sebelah petang," katanya.

Menurutnya, terdapat sedikit peningkatan dalam julat antara 76 hingga 100 milimeter pada Mac ini berbanding cuma 32 milimeter pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, dan Kesihatan negeri, Teh Chai Aan dalam satu kenyataan meminta orang ramai mengurangkan aktiviti ketika musim panas bagi mengelakkan risiko demam panas atau strok haba.

Teh Chai Aan
Teh Chai Aan

Chai Aan mencadangkan aktiviti luar bilik darjah membabitkan pelajar juga dikurangkan jika suhu maksimum melebihi 36 darjah celcius.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular maklumat bahawa Perlis mengalami suhu agak berbahaya iaitu antara 24 hingga 39 darjah celcius.

Suhu tertinggi pernah dicatatkan di Chuping adalah 40.1 darjah celcius antara tahun 1997 hingga 1998.