Empat maut nahas MPV, trak tunda

Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan lori trak tunda dan sebuah MPV di Jalan Mersing-Endau pagi tadi.
Keadaan di lokasi kemalangan membabitkan lori trak tunda dan sebuah MPV di Jalan Mersing-Endau pagi tadi.
A
A
A

MERSING - Empat maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah lori trak tunda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di Jalan Mersing-Endau kira-kira jam 4.15 pagi tadi.

Mangsa yang maut merupakan pemandu dan tiga penumpang Toyota Avanza dikenali sebagai Mohammad Nurul Haq Mohamad, 22, Tengku Zahid Tengku Endut, 52, Kamarudin Salim Mualaf, 51, dan seorang lagi lelaki berumur lingkungan 30-an.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, MPV terbabit dari arah Endau menuju ke Mersing dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan lori trak tunda.

"Berlaku pelanggaran mengakibatkan pemandu dan semua penumpang MPV meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang lori trak tunda hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kesemua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan lori trak tunda dan sebuah MPV di Jalan Mersing-Endau pagi tadi.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan lori trak tunda dan sebuah MPV di Jalan Mersing-Endau pagi tadi.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing berkata, sebuah jentera FRT, sebuah jentera LFRT bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua utiliti Hilux dari BBP Mersing dan BBP Endau dengan kekuatan 22 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Bomba membantu mengeluarkan empat mangsa yang tersepit di dalam MPV.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 6.25 pagi," katanya.