PM disaran lantik segera Menteri Kesihatan kekang Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pentadbiran baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran segera melantik Menteri Kesihatan dalam usaha mengekang penyebaran koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat.

Exco Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Dr RR Ramli berkata, lantikan itu perlu menjadi agenda utama bagi membantu memudah cara dan memastikan kelancaran bantuan kewangan, sokongan moral, bantuan peralatan yang mencukupi dan koordinasi antara kementerian lebih lancar dan teratur.

“Beban ini tidak seharusnya diletakkan di atas bahu penjawat awam sahaja, tetapi eksekutif perlu memainkan peranan dan sedia menggalas tanggungjawab ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga 12 tengah hari semalam, terdapat 14 kes baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat ke-50 kes.

Beliau berkata, Menteri Kesihatan yang dilantik itu juga perlu mencari jalan untuk mendapatkan peruntukan dana tambahan bagi mencegah, menyaring, merawat dan membasmi wabak Covid-19 yang boleh dicapai antaranya melalui kolaborasi antara kementerian.

Ikatan adalah parti politik yang ditubuhkan pada tahun 2012 oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fazir sebagai parti berbilang kaum yang mendukung bangsa Malaysia yang bersatu padu, maju, adil, saksama dan bahagia. - Bernama

Artikel Berkaitan: