X

Kindly register in order to view this article
!

NGO R harap PM baharu dapat selesai isu royalti Kelantan

Nazri (kiri) menyerahkan memorandum tuntutan royalti kepada Muhyiddin ketika beliau melawat negeri Kelantan pada tahun 2016.
A
A

KOTA BHARU - Badan bukan kerajaan (NGO) dikenali NGO R berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberi perhatian terhadap tuntutan royalti petroleum serta tuntutan agar Kelantan diberikan hak pendaratan dan pemprosesan petroleum.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, pihaknya amat yakin bahawa isu yang diperjuangkan pihaknya berada di dalam pengetahuan Perdana Menteri kelapan terbabit.

“Pihak kami telah mengadakan kunjungan hormat dan menyerahkan memorandum tuntutan royalti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau berkunjung ke Kelantan pada tahun 2016.

“Sebagaimana semua maklum termasuk pihak Perdana Menteri, bahawa isu ini mendapat liputan meluas di media perdana dan media sosial semenjak 2010 lagi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nazri berkata, pelbagai parti politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang telah memasukkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 dan 14 dengan janji untuk menjelaskan bayaran royalti kepada Kelantan dan membangunkan industri petroleum di Kelantan.

“Asas tuntutan royalti petroleum Kelantan adalah amat jelas yang bersandarkan kepada perjanjian royalti yang telah ditandatangani oleh kerajaan negeri Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975.

“Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian royalti tersebut dengan tegas dan terang menyatakan bahawa pihak Petronas hendaklah membayar sebanyak lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh dalam perairan atau di luar perairan Kelantan,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh oleh pihaknya, Nazri berkata, bayaran royalti petroleum milik Kelantan yang tertunggak sehingga kini adalah berjumlah melebihi RM15 bilion.

“Jumlah tersebut dikira bermula dari pengeluaran pertama pada 1992 yang dicatatkan dari Medan Jerneh (4/5 kawasan medan ini berada dalam perairan Kelantan dan selebihnya dalam perairan Terengganu).

“Kawasan pengeluaran petroleum Kelantan terdapat di beberapa Blok iaitu PM301, PM302, PM303, Join Development Area (perkongsian bersama Thailand) dan PM3-CAA (perkongsian bersama Vietnam). Jumlah royalti setahun dari telaga-telaga minyak tersebut dianggarkan berjumlah melebihi RM1 bilion,” katanya.

Nazri berkata, NGO R percaya, kemelut politik tanah air yang berlaku tidak menghalang proses pembayaran royalti yang sedang diusahakan berikutan pembatalan saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan pada 13 Mei 2019.

“Kini hanya tinggal beberapa isu kecil yang perlu diselesaikan seperti penentuan sempadan laut Kelantan-Terengganu dan rundingan untuk menentukan jumlah yang sepatutnya diterima oleh Kelantan.

“Seharusnya perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat dalam suku pertama atau selewat-lewatnya suku kedua tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu sememangnya akan memberikan peluang lebih cerah kepada rakyat Kelantan untuk menikmati kejayaan di atas perjuangan yang telah lama diidamkan oleh setiap rakyat Kelantan.

Katanya, ini kerana kerajaan baharu di peringkat Persekutuan akan disertai oleh pemimpin yang memperjuangkan isu royalti sebelum ini.

“Kami menyeru seluruh rakyat Kelantan agar terus berdoa agar ALLAH SWT permudahkan urusan pembayaran royalti sehingga menjadi kenyataan. Rezeki royalti untuk rakyat Kelantan pasti tiba tidak lama lagi... insya-ALLAH Biiznillah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus