Tangguh Dewan Rakyat beri peluang PM pulih senario politik

Dr Syed Agil Syed Alsagoff
Dr Syed Agil Syed Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunda sidang Dewan Rakyat dilihat memberi peluang kerajaan memantapkan sokongan parti-parti politik selain memulihkan senario politik di negara ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, ia juga memberi laluan kepada kerajaan baharu untuk mendirikan Kabinet yang boleh meyakinkan rakyat.

"Saya percaya tempoh (penangguhan) ini dapat digunakan Perdana Menteri untuk meredakan 'politiking' dalam kalangan rakyat.

"Masa inilah yang akan digunakan untuk beliau dan barisan Kabinetnya berunding dengan parti-parti politik untuk meningkatkan sokongan kepada kerajaan baharu.

"Selain itu, penangguhan itu juga dapat memberikan Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya masa untuk meneliti pemulihan senario politik di negara ini," katanya.

Pada awalnya, sidang Dewan Rakyat dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sidang Dewan Rakyat 9 Mac ditangguh Mei depan

Ahad lalu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, surat makluman berhubung tarikh baharu itu telah diterima malam tadi iaitu tiada persidangan pada 9 Mac dan tarikh baharu Istiadat Pembukaan Parlimen ialah pada 18 Mei.

Mengulas lanjut, Dr Syed Agil berkata, adalah penting bagi Perdana Menteri untuk mengatur strategi terbaik dari segi politik, ekonomi dan penyusunan masalah sosial disebabkan wabak koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

"Wabak itu kini mengancam penduduk dunia termasuk Malaysia.

"Adalah amat penting untuk Perdana Menteri mengambil langkah segera bagi memulihkan ekonomi terjejas akibat Covid-19 dan kesan ekonomi global ketika ini," katanya.