Tiada diskriminasi kaum

Hanafiah (tengah) pada Majlis Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2020 di Dewan Komuniti Cina, Kampung Mak Dayang, Kemaman yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar baru-baru ini.
Hanafiah (tengah) pada Majlis Sentuhan Kasih Tahun Baharu Cina 2020 di Dewan Komuniti Cina, Kampung Mak Dayang, Kemaman yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar baru-baru ini.
A
A
A

TUGAS wakil rakyat yang memegang portfolio perpaduan nasional menyebabkan Hanafiah Mat sering turun padang bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di Terengganu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu itu mahu memastikan maklumat terkini tentang kerajaan negeri sampai kepada masyarakat dengan tepat serta jelas.

Selain itu, perjumpaan sama ada secara santai atau majlis rasmi bersama golongan minoriti Terengganu itu juga bertujuan agar mereka dapat menyampaikan hasrat, pandangan dan masalah mereka kepada kerajaan secara terus.

Hanafiah berkata, komitmen itu membuktikan bahawa masyarakat bukan Islam berjumlah kira-kira 30,000 orang atau sebanyak tiga peratus yang ada di Terengganu turut diberi perhatian tanpa wujudnya diskriminasi oleh kerajaan Pas di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Di Terengganu, keharmonian dan hubungan antara kaum sentiasa baik dan rapat. Saya selalu berjumpa dengan orang Cina dan India serta kaum lain untuk memberi maklumat terkini mengenai kerajaan negeri.

“Menteri Besar selalu sebut, Pas tidak mengamalkan dasar diskriminasi kaum dan kita memberi sepenuh perhatian tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun politik.

Pelbagai program kemasyarakatan dianjurkan di setiap daerah yang bertujuan merapatkan hubungan pelbagai kaum di Terengganu.
Pelbagai program kemasyarakatan dianjurkan di setiap daerah yang bertujuan merapatkan hubungan pelbagai kaum di Terengganu.

“Kita lihat masyarakat bukan Islam boleh terima kerajaan Pas dan mereka yakin dengan kepimpinan Menteri Besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Unik

Hanafiah turut menyifatkan masyarakat Cina di Terengganu sebagai unik dan berbeza daripada kawasan lain kerana selain mampu bercakap dalam loghat tempatan dengan baik, mereka juga mengamalkan budaya Melayu.

Menurutnya, menikmati nasi berlaukkan budu, ikan singgang, sambal belacan dan memasak masakan Melayu seperti nasi dagang adalah perkara biasa bagi masyarakat Cina di negeri itu.

Atas dasar itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu itu berharap hubungan masyarakat pelbagai kaum dapat dikukuhkan dari masa ke masa agar sentiasa harmoni tanpa dirosakkan oleh anasir jahat.

Walaupun berlainan kaum dan agama, ia bukan halangan untuk menganjurkan satu program yang boleh menyatukan masyarakat.
Walaupun berlainan kaum dan agama, ia bukan halangan untuk menganjurkan satu program yang boleh menyatukan masyarakat.

“Antara perosak perpaduan kaum adalah hasad dengki, contohnya, sesama sendiri dia hasut atau perbesarkan isu sedangkan kita duduk dalam negara pelbagai bangsa. Kita tidak boleh buat begitu.

“Sudah lebih 60 tahun kita hidup aman makmur dan suasana ini harus dikekalkan. Jangan ada sesiapa yang berani bercakap atas dasar kaum atau mengapi-apikan perkauman. Kita kena lihat semula kepada asas penubuhan Malaysia, insya-ALLAH kita akan hidup dengan aman.

“Kita mahu orang Melayu, Cina, India dan kaum lain boleh kembangkan ekonomi serta tunaikan ibadat dan meraikan perayaan masing-masing tanpa sebarang masalah,” katanya.

Hanafiah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, hubungan yang baik antara masyarakat pelbagai kaum adalah tunjang kepada kedamaian, manakala perbezaan yang wujud antara satu sama lain adalah untuk saling melengkapi dan membentuk satu kebersamaan.

“Kepelbagaian kaum bukan bermakna kita saling bermusuhan, sebaliknya ia membolehkan kita saling belajar mengenai perbezaan masing-masing.

“Andai kita bersatu di sebalik perbezaan ini, maka sudah pasti kita akan mampu menghasilkan satu kesepaduan yang cukup utuh di negara ini,” kata beliau.