Pendapatan lumayan hasil mengemis

Penjual keropok warga Thailand turut diselamatkan dalam operasi yang dijalankan semalam.
Penjual keropok warga Thailand turut diselamatkan dalam operasi yang dijalankan semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Muda menyelamatkan seorang pengemis berstatus orang kurang upaya (OKU) di sebuah pasar malam.

Lelaki berusia 40-an itu juga kerap dilihat mengengsot dan mengemis di beberapa pasar malam di sekitar Sungai Petani dan mungkin menjadikan amalan itu sebagai rutin harian.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Kuala Muda, Nor Harina Ayob berkata, semakan mendapati lelaki itu memperoleh RM390.35 hasil aktiviti mengemis dalam tempoh hanya beberapa jam.

"Lelaki itu berasal dari Jeniang, Kedah dan bekas penghuni rumah kebajikan di Johor serta pernah diberikan amaran ketika diselamatkan dalam operasi sama sebelum ini.

"Kita turut mengesan bahawa lelaki ini menerima bantuan JKM berjumlah RM250 sebulan manakala ibunya yang berstatus OKU pendengaran juga penerima bantuan RM250 sebulan," katanya.

Seorang lelaki yang menjadikan kaki lima kedai sebagai tempat mengemis turut diselamatkan.
Seorang lelaki yang menjadikan kaki lima kedai sebagai tempat mengemis turut diselamatkan.

Beliau berkata, melalui operasi di 28 lokasi tumpuan pengemis di sekitar daerah Kuala Muda, 13 warga tempatan dan 11 warga asing diselamatkan membabitkan jumlah kutipan RM2,133.95.

Menurut beliau, sepuluh kes warga asing menjual makanan ringan di hadapan bank telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia(JIM), satu kes pula ialah pemegang kad UNHCR dan diberi amaran manakala lapan tabung yang ditemui di pasar malam dan bank diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, tiga individu warga tempatan ditempatkan sementara di Rumah Seri Kenangan Bedong bagi tempoh 24 jam, dua kes dirujuk kepada Hospital Sultan Abdul Halim dan empat kes lagi diberikan amaran.

Operasi membabitkan 65 anggota daripada pelbagai agensi itu turut disertai Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Noor Ismadi Ismail.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Imigresen negeri, PADKM, Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Majlis Perbandaran Sungai Petani, Jabatan Pendaftaran Negara dan Bengkel Daya Sungai Petani.

Kesemua individu yang diselamatkan dIbawa ke Pejabat JKM untuk tindakan lanjut.
Kesemua individu yang diselamatkan dIbawa ke Pejabat JKM untuk tindakan lanjut.