Tindakan Syria undang padah

A
A
A

KURANG setahun selepas Turki berjaya mengalahkan angkatan pemberontak Kurdish SDF-YPG yang disokong Amerika, kini angkatan kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu terpaksa berhadapan dengan kemaraan Tentera Arab Syria (SAA) rejim al-Assad yang disokong Rusia di Idlib pula.

Punca utama pertembungan itu berlaku adalah kerana tindakan Syria – dan sekutunya Rusia – yang melanggar perjanjian yang ditaja oleh Rusia sendiri melalui Persidangan Astana 2017 dan juga Sochi 2018. Perjanjian itu jelas memberikan tentera Turki hak untuk membina 12 pos tentera di sekitar Idlib – satu langkah untuk menstabilkan sempadan Turki-Syria yang bergolak hebat sejak Perang Syria meletus pada 2011. Bagaimanapun, tindakan tentera Syria yang mara dan melancarkan siri serangan yang mengorbankan lebih 55 orang tentera Turki setakat Februari 2020 telah mengundang padah.

Rejim Syria berikrar untuk menawan semula wilayah terakhir dikuasai pembangkang dalam perang saudara sembilan tahun itu. Sebagai tindak balas, Turki telah melancarkan operasi ketenteraan Spring Shield dan memusnahkan sistem pertahanan udara, lebih 100 kereta perisai dan menembak jatuh dua pesawat SU-24 dan satu pesawat L-39 milik tentera Syria.

Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar berkata, serangan itu bukan bertujuan untuk menyasarkan Rusia tetapi sebaliknya rejim Syria bagi menamatkan pembunuhan beramai-ramai dan dengan itu mencegah, menghentikan radikalisasi dan migrasi. Untuk rekod, Turki merupakan negara yang melindungi jumlah pelarian Syria yang paling ramai dengan angka melebihi 3 juta orang.

Berbeza dengan aset ketenteraan Syria yang agak kekurangan dan banyak bergantung harap pada Rusia – contohnya seperti sistem pertahanan S-300 – Turki sebaliknya memiliki aset yang lebih berkuasa seperti dron buatan sendiri yang diubahsuai daripada dron Predator milik Amerika.

Begitu juga dengan pesawat F-16 Turki yang menembak jatuh pesawat L-39 Syria. Perbezaan kekuatan antara kedua-dua kuasa itu terbukti apabila tentera Turki berhasil memusnahkan dron, lapan helikopter, 103 kereta perisai, pelancar roket dan enam sistem pertahanan udara Syria sejak 27 Februari lalu manakala seramai 2,212 anggota tentera Syria telah terbunuh, cedera dan ditahan.

Kepentingan

Namun begitu, hakikat bahawa Turki berjaya melakukan tindak balas yang cukup pantas dan berkesan ke atas tentera Syria dalam keadaan Syria dibantu oleh Rusia juga perlu diberi perhatian. Rusia yang mula campur tangan di Syria pada 2015 merupakan satu-satunya negara asing yang dianugerahkan hak eksklusif untuk mengeksploitasi minyak dan gas di Syria oleh rejim al-Assad pada 2018. Rusia juga diberi kawalan ke atas pelabuhan strategik Tartus di Syria, di samping memiliki beberapa pangkalan tentera di Syria.

Artikel Berkaitan:

Maka tentulah Moscow ingin menjaga kepentingan mereka di Syria dengan membantu rejim al-Assad untuk memerangi Turki di Idlib – meskipun jelas bertentangan dengan komitmen mereka sendiri di Astana 2017 dan Sochi 2018.

Pada sisi lain, Turki pula terpaksa berlapik dengan menegaskan bahawa tindak balas mereka tidak ditujukan kepada Rusia kerana mereka sendiri turut memiliki hubungan ekonomi yang kritikal dengan Moscow.

Januari lalu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan paip gas TurkStream yang bakal menyalurkan gas asli Rusia ke selatan Eropah melalui Turki sekaligus mengetepikan Ukraine. Selain itu, Rusia juga sedang membantu Turki untuk membina loji tenaga nuklearnya yang pertama di samping menepati janji penjualan sistem pertahanan udara S-400 kepada Turki.

Kesemua pertimbangan itu mempengaruhi percaturan kerajaan Turki dalam berhadapan dengan kemaraan tentera Syria yang dibantu Rusia di Idlib saat ini.