Beri masa Perdana Menteri mencatur langkah gemilang Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SAH sudah persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada Isnin, 18 Mei 2020. Sebelum ini hanya timbul pelbagai spekulasi yang mengatakan Persidangan Dewan Rakyat di bawah pentadbiran Perikatan Nasional akan ditangguhkan.

Dengan perkhabaran terbaharu itu, ia menandakan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai tempoh lebih dua bulan membuat persiapan bagi menghadapi persidangan kali ini.

Secara peribadi Merak Jalanan menyokong tarikh baharu itu. Namun, sudah pasti tarikh baharu itu mencetuskan satu lagi perdebatan hangat dalam kalangan pemerhati politik termasuk penyokong kedua-dua blok, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Tidak terkecuali situasi terbaharu itu pastinya menambahkan lagi rencah dan asam garam antara ahli Parlimen di pihak Perikatan Nasional dan juga Pakatan Harapan. Masing-masing akan mengeluarkan ‘dalil-dalil’ bagi menyokong hujahan mereka.

Jika ditanya kepada Merak Jalanan pula, pertukaran tarikh itu adalah sebagai sesuatu yang rasional. Sebabnya, Muhyiddin memerlukan sedikit masa membentuk barisan Kabinetnya termasuk memilih Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Jika kita ingat kembali selepas Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kerajaan, beliau juga mengambil masa kira-kira dua bulan membentuk Kabinet sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

Jadi sama juga situasi yang dihadapi Muhyiddin ketika ini. Pastinya beliau memerlukan sedikit masa sebelum memulakan sidang Dewan Rakyat pertamanya selaku Perdana Menteri.

Berilah masa kepada Muhyiddin menjalankan tugasnya. Merak Jalanan hanya berharap pengalaman 40 tahun dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan, Muhyiddin mampu mengemudi Malaysia ke arah kegemilangan sebagaimana yang diimpikannya.

Artikel Berkaitan: