Polis buru pemandu Triton larikan diri selepas rempuh suami isteri di lampu isyarat

MELAKA – Polis kini giat memburu pemandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang melarikan diri selepas merempuh sepasang suami isteri di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin, malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa, Roslinah Sinan, 53, maut di tempat kejadian manakala suaminya, Hisham Omar, 57, parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang ketika berhenti di lampu isyarat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemandu kenderaan terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan mangsa tanpa sebarang tindakan.
“Semakan mendapati nombor pendaftaran Mitsubishi Triton itu berdaftar atas nama seorang pengurus syarikat.
“Pegawai penyiasat bersama penolong dan pengurus syarikat tersebut telah cuba mengesan suspek di kediamannya, namun dia tidak pulang ke rumah. Usaha memburu suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pasangan itu sedang dalam perjalanan dari Malim menuju ke Balai Panjang menaiki motosikal jenis Honda Wave 125 ketika kejadian berlaku.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!