X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli politik perlu cepat tangkis persepsi tidak betul

Sara hadir sebagai tetamu pada program Sinar Live 'Persepsi Terhadap Kerajaan Baharu' di Kumpulan Karangkraf, hari ini.
A
A

SHAH ALAM – Ahli politik perlu cepat menangkis persepsi tidak benar yang tersebar di media sosial agar persepsi itu tidak berpanjangan kerana perkara itu boleh menumbangkan sesebuah kerajaan.

Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, ahli politik tidak boleh bersikap sekadar membaca dan berdiam diri tanpa mengambil apa-apa tindakan yang cepat.

Menurutnya, ahli politik juga perlu mempertingkatkan tahap literasi (celik) politik dan media sosial kerana kematangan politik mereka turut diukur menerusi hantaran atau status yang dimuat naik menerusi platform media sosial seperti Twitter dan Facebook.

“Berdasarkan pemerhatian di platform media sosial contohnya Twitter, ada ciapan (ahli politik) yang kita lihat tidak matang kerana jika diteliti ciapan itu boleh mengundang kemarahan rakyat dan ia seharusnya perlu dielak.

“Ahli-ahli politik ini sepatutnya perlu menjadi teladan kepada rakyat,” katanya ketika hadir sebagai tetamu Sinar Live ‘Persepsi Terhadap Kerajaan Baharu’ di studio Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sara berkata, sesuatu ‘tweet’ atau hantaran di media sosial itu akan memberi gambaran sama ada seseorang ahli politik itu matang atau sebaliknya.

Jelas beliau, jika apa yang dimuat naik itu menimbulkan kebimbangan, kerisauan dan ketakutan kepada penyokong-penyokong mereka dan sekiranya penyokong pula bersifat emosi, ia boleh mencetuskan perbalahan dengan parti politik yang lain.

“Justeru, seseorang ahli politik perlu ada literasi politik dan media sosial. Literasi media sosial ini adalah bagaimana mereka berkomunikasi dengan rakyat menerusi platform media sosial. Mereka kena ambil tahu mengenai laman web, akaun media sosial serta apa komen dan reaksi rakyat terhadap mereka di media sosial.

“Jika tersebar persepsi dan komen negatif terhadap mereka, mereka perlu segera cantas perkara itu. Jangan hanya membaca komen dan diam sahaja. Kalau ia dibiarkan, perkara sebenar tidak akan dapat dijelaskan. Bila timbul satu isu mereka diam, sepatutnya kalau ada isu buat satu sidang akhbar biar rakyat faham dan dapat betulkan semula persepsi rakyat,” katanya.

Tambahnya, usaha menangkis persepsi buruk dan tohmahan perlu cepat dilakukan kerajaan baharu Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sara berkata, pengaruh media sosial tidak boleh dipandang remeh kerana dianggarkan kira-kira 24 juta daripada rakyat Malaysia kini yang mencecah 34 juta menggunakan Facebook dan media sosial lain.

Sementara itu, ditanya mengenai persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 9 Mac ini tetapi ditangguhkan ke 18 Mei, katanya, Perikatan Nasional memerlukan sedikit masa untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai hala tuju mereka selepas kemelut politik minggu lalu.

"Apa yang penting kita jangan buat apa-apa spekulasi,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus