Exco Johor baharu dijangka angkat sumpah Jumaat ini

Hasni (tengah) bersama sebahagian ADUN gabungan baharu kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar petang tadi.
Hasni (tengah) bersama sebahagian ADUN gabungan baharu kerajaan negeri di Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar petang tadi.
A
A
A

KOTA ISKANDAR - Majlis angkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu dijangka akan diadakan pada Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, beliau sedang memuktamadkan senarai akhir sebelum dipersembahkan semula kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk diperkenankan esok.

"Saya sedang memuktamadkan senarai akhir barisan Exco bersama pengerusi parti gabungan baharu kerajaan negeri iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

"Saya harap Jumaat ini barisan Exco baharu akan mengangkat sumpah," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar Kota Iskandar petang tadi.

Hadir sama, Pengerusi Bersatu, Mazlan Bujang dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Hasni berkata, majlis angkat sumpah itu perlu disegerakan bagi membolehkan kerajaan negeri menjalankan tugas pentadbiran dengan berkesan.

Pada sidang akhbar yang sama, Hasni turut menghargai keputusan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr Chong Fat Full yang menyokong gabungan baharu kerajaan negeri.

Dengan sokongan dan surat sokongan yang ditandatangani Fat Full kini gabungan baharu memiliki 28 kerusi berbanding Pakatan Harapan sebanyak 26 kerusi.

Artikel Berkaitan: